Oleh: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Ranau, menangani Covid-19 di sini telah menerima sumbangan RM5,000 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir.
Sumbangan disampaikan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan, Hisyamuddin Harun kepada Pengerusi JPBD, merangkap Pegawai Daerah Ranau, Mohd Yassin Ibrahim mewakili Abidin, baru-baru ini.
Menurut Abidin ketika dihubungi berkata, sumbangan tersebut bagi membiayai keperluan harian para petugas barisan hadapan di Pusat Kawalan Bencana Daerah Ranau (PKOB).
“Mereka bertugas 24 jam di pusat itu sejak diaktifkan baru-baru ini bagi memantau dan mendapatkan informasi semasa perkembangan Covid-19 di daerah Ranau.
“Semoga dengan sedikit sumbangan ini ianya dapat membantu JPBD menyediakan keperluan terutama makanan dan minuman kepada para petugas,” katanya.
Dalam pada itu, Abidin juga meminta mana-mana individu yang dikehendaki untuk membuat ujian saringan di Hospital Ranau supaya tampil demi kebaikan diri sendiri, keluarga dan orang lain.
Selain itu, beliau turut merayu supaya penduduk Ranau mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikuatkuasakan bermula 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020.
“Kalau tiada keperluan, tidak perlu keluar rumah, duduk diam di rumah. Jangan disebabkan kedegilan kita, orang lain menjadi mangsa,” gesanya.
Terdahulu, Abidin turut memberi sumbangan RM2,000 kepada Maktab Teologi Sabah di Kampung Namaus, Bongkud di sini.
Menurutnya, sumbangan itu bagi membiayi keperluan makanan pelajar-pelajar yang menuntut di Borneo Theological Seminary (BTS) Kampus Namaus yang terpaksa bercuti ekoran perlaksanaan PKP.
“Mereka tidak dapat balik ke kampung halaman masing-masing dan terpaksa tinggal di asrama kolej sehingga tempoh PKP berakhir,” katanya.
Dalam masa yang sama, Abidin melalui Kelab Penyokong Wanita, Datuk Abidin Madingkir turut menghantar sumbangan berupa barangan keperluan makan kepada petugas Hospital Ranau. –TAMAT–