ADVERTISEMENTspot_img

Setahun Tertangguh, Sembilan Kampung di Ranau Masih Menanti Klinik Kesihatan Baharu

Bangunan klinik kesihatan Kampung Perancangan yang belum siap selepas setahun tempoh penyiapan

RANAU: Penduduk sembilan kampung di kawasan Perancangan, di sini, masih menantikan penyiapan bangunan baharu Klinik Kesihatan Kampung Perancangan yang sepatutnya siap pada 20 Oktober 2025, namun sehingga kini masih belum dapat beroperasi.

Projek pembinaan bangunan baharu atau gantian klinik berkenaan yang bermula pada 7 April 2025 itu dijadualkan mengambil masa 28 minggu untuk disiapkan.

Bagaimanapun, kelewatan pelaksanaan projek berkenaan menimbulkan rasa terkilan dalam kalangan penduduk kerana mereka masih belum dapat menikmati kemudahan serta perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa dan efisien.

Ketua Kampung Perancangan, KK Kujin Gorod, berkata kelewatan itu turut memberi kesan kepada operasi perkhidmatan kesihatan apabila klinik berkenaan terpaksa beroperasi sementara di dewan serbaguna kampung sejak Mac 2025.

Menurutnya, keadaan tersebut bukan sahaja kurang kondusif untuk petugas kesihatan menjalankan tugas dan memberikan rawatan kepada pesakit, malah menyebabkan sebahagian penduduk terpaksa mendapatkan rawatan di hospital, klinik lain yang lebih jauh atau klinik swasta.

“Keadaan ini tentunya menyukarkan penduduk, khususnya mereka yang memerlukan kemudahan rawatan kesihatan yang lebih dekat dengan tempat tinggal.

Ketua Kampung Perancangan, KK Kujin Gorod, ketika meninjau keadaan bangunan baharu Klinik Kesihatan Kampung Perancangan yang masih belum siap.

“Kami memahami keperluan pembinaan bangunan baharu klinik itu dan bersetuju meminjamkan dewan serbaguna kampung untuk tempoh setahun sebagai sokongan kepada pelaksanaan projek berkenaan.

“Namun, sehingga kini penduduk masih terpaksa mencari lokasi lain untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan kerana dewan berkenaan terus digunakan sebagai klinik sementara,” katanya.

Beliau berharap pihak bertanggungjawab dapat memberikan perhatian serius terhadap kelewatan projek itu serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan bangunan berkenaan dapat disiapkan dan mula beroperasi secepat mungkin.

Klinik Kesihatan Kampung Perancangan berperanan memberikan kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk sembilan kampung, iaitu Kampung Perancangan, Takutan, Nalumad, Togis, Napong, Tarawas, Debut, Langsat dan Kirokot.

Tinjauan terhadap keadaan fizikal projek turut menunjukkan beberapa komponen kemudahan asas masih belum disiapkan, termasuk struktur tangki septik atau manhole yang masih berupa lubang tanah serta tangki air yang belum dipasang.

Penduduk berharap kelewatan berkenaan mendapat perhatian pihak berkaitan memandangkan kemudahan klinik itu bukan sahaja penting untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, malah penyempurnaannya akan membolehkan dewan serbaguna kampung dikembalikan kepada fungsi asal untuk kegunaan masyarakat setempat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN