ADVERTISEMENTspot_img

SK Lubok Temiang raih lima Anugerah Pusat Sumber Cemerlang Peringkat WP Labuan 2026

Sofiana (kiri) dan Muharna bersama pengawas Pusat Sumber Al-Faaeq yang berjaya mengharumkan nama SK Lubok Temiang.

LABUAN: Pusat Sumber Al-Faaeq, Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih lima anugerah dalam Majlis Apresiasi Pusat Sumber Cemerlang Wilayah Persekutuan Labuan 2026 yang berlangsung di Dewan Mini Konvensyen, Ujana Kewangan Labuan, baru baru ini.

Kejayaan berkenaan menyaksikan Pusat Sumber Al-Faaeq yang dikelolakan oleh Guru Perpustakaan dan Media (GPM), Cikgu Sofiana Andi Patra, dinobatkan sebagai Johan Anugerah Jalinan dan Jaringan.

Pusat Sumber Al-Faaeq turut memenangi Naib Johan Anugerah Pusat Sumber Inovatif.

Selain itu, SKLT turut meraih tempat ketiga bagi Anugerah Video TVPSS dan tempat keempat dalam Anugerah Pusat Sumber Cemerlang.

Kejayaan itu membuktikan komitmen sekolah dalam memperkasakan pengurusan pusat sumber, inovasi pendidikan dan penghasilan kandungan digital.

Bagi Anugerah Video TVPSS, kejayaan tempat ketiga disumbangkan oleh lima murid Tahun Enam iaitu Qaisara Nur Alisha Mohd. Fandy, Muhammad Adam Naufal Riz Firdaus, Iris Alisha Ag Mohmd Ruzaini, Muhammad Hariz Amar Hasni dan Abdul Khazim Irfan Dassuki yang dibimbing Ustaz Ahmad Razali Roslin selaku Guru Penyelaras TVPSS SKLT.

Kecemerlangan SKLT turut terserlah apabila Iris Alisha Ag Mohmd Ruzaini yang juga murid Tahun Enam dinobatkan sebagai Johan Anugerah Pengawas Pusat Sumber Harapan, sekali gus mengiktiraf kepimpinan dan penglibatan aktif murid dalam pengurusan pusat sumber sekolah.

Majlis berkenaan turut dihadiri Penolong Kanan Pentadbiran SK Lubok Temiang, Cikgu Muharna@Ana Shariff Mucklie yang bersama-sama meraikan kejayaan serta memberikan sokongan kepada murid dan guru yang menerima pengiktirafan.

Muharna berkata pencapaian lima anugerah berkenaan mencerminkan usaha berterusan Pusat Sumber Al-Faaeq dalam memperkukuh budaya membaca, memperluas jalinan kerjasama strategik serta mengintegrasikan inovasi dan teknologi digital dalam pendidikan.

“Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin kepada warga SK Lubok Temiang untuk terus memperkasakan pusat sumber sebagai pusat pembelajaran yang kreatif, inovatif dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi berilmu serta celik digital,”katanya.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Pendidikan WP Labuan, Yahya Ahmad Puteh.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN