Ewon ketika mempengerusikan libat urus pada Khamis di Sandakan yang turut dihadiri Vivian dan Thomas
SANDAKAN: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, mempengerusikan sesi libat urus bersama agensi kawal selia, syarikat konsesi pengendali pelabuhan dan persatuan pengguna bagi membincangkan isu operasi Pelabuhan Sandakan, di sini, hari ini.
Sesi libat urus itu membincangkan dua isu utama yang dihadapi Pelabuhan Sandakan, iaitu kekerapan kerosakan kren sedia ada serta keadaan laluan kapal laut yang cetek.
Ewon berkata, Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) selaku syarikat konsesi pengendali pelabuhan telah membentangkan beberapa inisiatif yang dilaksanakan setakat ini, termasuk perancangan perolehan aset jentera baharu bagi meningkatkan kapasiti operasi pelabuhan.
Menurutnya, SPSB telah memindahkan dua unit kren dari Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Sandakan sebagai langkah interim untuk menambah kapasiti pengendalian kargo sementara menunggu pelaksanaan rancangan perolehan aset baharu.
Sementara itu, berhubung isu laluan kapal laut yang cetek, beliau berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) dan SEDCO Mining antara lainnya meneliti kerja-kerja pengorekan atau pendalaman kawasan laut berhampiran Taman Perindustrian Sawit Kinabalu Sandakan yang merupakan laluan kapal laut.
Ewon turut bersetuju supaya sesi libat urus berkenaan diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap suku tahun bagi memastikan semua pihak berkepentingan mendapat maklumat terkini mengenai inisiatif penambahbaikan operasi yang dilaksanakan.
Sesi libat urus itu turut dihadiri Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Thomas Logijin, pegawai kanan MINDET, wakil Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah; Sabah Ports Sdn Bhd; Sandakan Chinese Chamber of Commerce; Sabah Shipping Agents Association Sandakan; Sabah Forwarders Association; Sandakan Grocers Exporters and Importers Association; Sandakan Hire Lorry Transport Association serta Sabah Timber Industries Association.



