ADVERTISEMENTspot_img

Penduduk Kibbas Disaran Bangunkan Bukit Kibbas Sebagai Destinasi Pelancongan

Jonathan (tengah) bersama penduduk dan penganjur semasa Hari Keluarga Komuniti KRT Kampung Kibbas dalam program tersebut

RANAU: Penduduk Kampung Kibbas disaran memanfaatkan sepenuhnya keindahan alam semula jadi dan potensi pelancongan Taman Rekreasi Bukit Kibbas bagi mewujudkan peluang ekonomi kepada masyarakat setempat pada masa akan datang.


Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, kawasan rekreasi itu telah menunjukkan banyak perubahan positif sejak beliau merasmikan pembangunannya kira-kira dua tahun lalu.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Keluarga Komuniti KRT Kampung Kibbas yang diadakan di Mini Dewan Kampung Kibbas pada 31 Oktober lalu.


Program berkenaan dianjurkan KRT Kampung Kibbas dengan kerjasama KRT Kibbas Siba, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Komuniti MADANI, Taman Rekreasi Bukit Kibbas serta Persatuan Penduduk Kampung Kibbas.


Jonathan turut merakamkan tahniah kepada pihak penganjur dan penduduk kampung atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan. Beliau juga memuji semangat perpaduan serta kesungguhan penduduk dalam melaksanakan pelbagai usaha membangunkan kampung.


Menurutnya, kerjasama erat dalam kalangan penduduk perlu dikekalkan kerana perpaduan dan semangat bermasyarakat merupakan asas penting bagi memastikan setiap program pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya.


“Saya sudah banyak masuk kampung dan mendapati ada sesetengah kampung yang sudah hilang kesatuannya. Jadi, penduduk Kampung Kibbas perlu terus bekerjasama demi kemajuan kampung,” katanya.


Dalam nada berseloroh, Jonathan berkata penduduk Kampung Kibbas amat bertuah kerana memiliki kawasan yang cantik serta mempunyai pelbagai potensi untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancongan.


Beliau menggalakkan penduduk supaya lebih giat mengusahakan Taman Rekreasi Bukit Kibbas agar kawasan itu dapat menarik lebih ramai pengunjung dan menjadi sumber ekonomi kepada masyarakat setempat.


“Jangan sia-siakan peluang ini. Kalau kamu tidak mahu mengusahakan tempat ini dengan baik, saya pindahkan Bukit Kibbas ke kawasan saya,” katanya sambil disambut gelak tawa hadirin.


Jonathan berkata, kawasan berkenaan boleh dibangunkan untuk pelbagai aktiviti seperti pelancongan berasaskan alam semula jadi, pendakian, rekreasi keluarga, jualan makanan tempatan serta aktiviti keusahawanan kecil-kecilan.


Dengan perancangan yang baik dan kerjasama berterusan penduduk, Bukit Kibbas berpotensi menjadi salah satu tarikan utama di kampung berkenaan, di samping membantu meningkatkan pendapatan penduduk.


Hari Keluarga Komuniti KRT Kampung Kibbas turut diserikan dengan pelbagai aktiviti bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk. Program dimulakan dengan persembahan tarian tradisional oleh warga emas Kampung Kibbas bagi menyambut ketibaan Jonathan, diikuti taklimat ringkas, senamrobik dan aktiviti Happy Fun Walk Hiking ke Taman Rekreasi Bukit Kibbas.


Turut diadakan ialah doa kesyukuran, nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, ucapan pemimpin setempat serta persembahan oleh Kimondou Kidz dan Tabika Perpaduan.


Selain itu, program ceramah dan sesi perkongsian oleh PPK Peladang Kinabalu turut diadakan, diikuti penyampaian cenderahati kepada Hospital Ranau dan PPK Peladang Kinabalu.


Program derma darah dengan kerjasama Hospital Ranau juga berlangsung sepanjang acara berkenaan. Pihak penganjur turut menyampaikan hadiah kepada Tunas Jiran serta memberikan penghargaan kepada pengunjung yang datang dari lokasi paling jauh.


Gerai jualan yang dikendalikan penduduk tempatan turut dibuka sepanjang program, sekali gus memberi peluang kepada penduduk mempromosikan dan menjual produk masing-masing.


Program diakhiri dengan jamuan makan bersama serta aktiviti gotong-royong membersihkan dan menceriakan kawasan rekreasi serta persekitaran mini dewan kampung.


Tema program, “Keluarga Harmoni, Komuniti Bersatu”, mencerminkan kepentingan perpaduan, kerjasama dan tanggungjawab bersama dalam memperkukuh komuniti serta membangunkan Kampung Kibbas sebagai destinasi yang menarik kepada pengunjung.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN