ADVERTISEMENTspot_img

Pembangunan di kawasan tinggi Gunung Kinabalu perlu diteliti demi kelestarian alam sekitar

Alim Biun

RANAU: Cadangan pembangunan di kawasan altitud tinggi Gunung Kinabalu perlu diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar, pengurusan sisa serta kepentingan gunung itu sebagai khazanah warisan semula jadi yang tidak ternilai.

Bekas kakitangan Taman-Taman Sabah, Alim Biun, berkata pandangannya itu bukan bertujuan membantah pembangunan, sebaliknya mahu memastikan sebarang perancangan mengambil kira sensitiviti kawasan puncak gunung yang mempunyai keluasan terhad dan menjadi simbol keagungan alam semula jadi Sabah.

Beliau mempersoalkan keperluan membangunkan kawasan berbatu dan tandus pada altitud tinggi Gunung Kinabalu sedangkan kawasan yang masih luas di luar sempadan Taman Kinabalu, khususnya di kaki gunung, boleh dipertimbangkan sebagai lokasi alternatif bagi pembinaan kemudahan penginapan atau kediaman.

Menurutnya, beberapa persoalan turut timbul, khususnya berkaitan keupayaan mengurus sisa dan mengawal pencemaran di kawasan berkenaan dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Katanya, kesediaan mengurus impak pembangunan dalam jangka panjang perlu diberi perhatian serius memandangkan kawasan itu mempunyai ekosistem sensitif, nilai biodiversiti tinggi serta kepentingan warisan semula jadi yang perlu dilindungi.

Alim turut membangkitkan cabaran pengurusan sisa kumbahan daripada kemudahan tandas sedia ada yang digunakan pendaki, yang disifatkannya bukan suatu perkara mudah untuk ditangani.

“Jika pengurusan kemudahan asas sedia ada pun masih berdepan cabaran, bagaimana pula kita hendak menjamin pengurusan sisa dan pencemaran daripada pembangunan baharu dalam jangka panjang?” katanya.

Beliau menegaskan Gunung Kinabalu tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai destinasi pelancongan atau kawasan pembangunan komersial kerana gunung itu merupakan khazanah warisan alam semula jadi yang amat bernilai serta dihormati sejak turun-temurun.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa setiap perancangan pembangunan perlu berlandaskan pertimbangan jangka panjang dan tidak mengorbankan kelestarian alam sekitar.

Katanya, keindahan, kebersihan dan keutuhan ekosistem Gunung Kinabalu merupakan amanah bersama yang perlu dipelihara demi memastikan khazanah semula jadi itu terus dinikmati oleh generasi akan datang.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN