Ahmad (tiga dari kiri) ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang pelatih terbaik.
KOTA KINABALU: Pelan Transformasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) merekodkan kejayaan 1,409 bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meraih manfaat Kerjaya Kedua Perwira.
Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Ahmad Shafirudin Abu Bakar berkata, usaha itu dilaksanakan dengan menghubungkan secara langsung bakal pesara ATM dengan keperluan sebenar industri dan pasaran kerja.
“Sehingga September 2026, PERHEBAT membuka peluang pekerjaan dan memperkukuh kebolehpasaran 1,409 bakal pesara dan veteran ATM dalam pasaran kerja bernilai tinggi.
“Daripada jumlah itu, 781 veteran berjaya mendapat pekerjaan dalam sektor strategik seperti aeroangkasa, automotif, logistik dan perkhidmatan dengan purata gaji RM2,970 hingga RM5,000 manakala 628 sedang mengikuti latihan industri.
“Saya percaya angka ini akan terus meningkat dengan memperkukuh kebolehpasaran, memperluas penempatan pekerjaan dalam sektor strategik bernilai tinggi serta memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kita mahu melihat PERHEBAT sebagai sebuah institusi peralihan yang terus bergerak progresif dengan menghubungkan bakal pesara dan veteran kepada keperluan sebenar industri,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen PERHEBAT Ke-71 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, di sini, pada Selasa.
Jelasnya, pendekatan Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) yang dibangunkan sejak 2017 bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) penting supaya anggota tidak kembali ke dunia pekerjaan hanya dengan kelayakan akademik asal, sedangkan telah mengumpul pelbagai kemahiran teknikal dan kecekapan semasa berkhidmat di ATM.
Menurutnya, sebanyak lapan program latihan PERHEBAT telah diperakui dan dianugerahkan Pensijilan Pembangunan Profesional oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) sebagai jaminan kualiti yang memenuhi standard profesional industri sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Kebolehpasaran graduan dibuktikan dengan 10 peserta Program Latihan Kemahiran Industri – East Coast Rail Link (PLKI-ECRL) telah menamatkan kursus Railway Power Supply Technology di Liuzhou, China dan bakal menjadi kumpulan veteran pertama merintis khidmat mengendalikan operasi East Coast Rail Link (ECRL) bersama Malaysia Rail Link.
“Saya menyeru bakal pesara yang bersara sekitar umur 40-an agar merebut peluang pekerjaan terbaik, tidak berehat terlalu lama dan menjadi duta pertahanan nasional bagi meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa mempertahankan kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, seramai 127 anggota hadir menerima Sijil Latihan Peralihan dan 66 anggota dan veteran ATM menerima Diploma Kemahiran Malaysia melalui program RPEL yang memastikan kemahiran dan pengalaman sepanjang perkhidmatan diiktiraf secara formal.
Hadir sama, Pengarah PERHEBAT Negeri Sabah, Samsul Mohamed Said, Komander Pangkalan Kota Kinabalu, Kapten Ahmad Sani Zakaria, Penolong Kanan Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Sabah dan Labuan, Othman Somsak Abdullah dan Ketua Sektor Pengurusan Latihan PERHEBAT, Mansor Ibrahim./Penerangan-MJ/JK – AAMI



