Suspek yang dipercayai terbabit dalam tiga kes pecah bangunan dan kecurian di Ranau, berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV). – Foto: PDRM IPD Ranau
RANAU: Polis berjaya membongkar tiga kes pecah bangunan dan kecurian di daerah ini dengan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah itu, membabitkan kerugian keseluruhan RM184,403.
Ketua Polis Daerah Ranau Superintenden Mursalin Mahmud berkata suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau dan dipercayai mempunyai kaitan dengan tiga kes yang dilaporkan antara 4 Okt hingga 2 Nov lepas.
Beliau berkata kes berkenaan membabitkan kegiatan pecah premis dan kecurian, termasuk memecah peti simpanan keselamatan.
“Penahanan suspek berjaya dilakukan hasil tindakan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ranau dan kita turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan jenayah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Mursalin, semakan rekod mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan jenayah kekerasan dan harta benda serta pernah dijatuhi hukuman.
Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine berdasarkan ujian saringan air kencing yang dijalankan.
Mursalin berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda.
Sekiranya kesalahan dilakukan dengan tujuan mencuri, hukuman penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun, manakala bagi kesalahan berulang, pesalah boleh dikenakan hukuman lebih berat termasuk denda atau sebatan.
Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan langkah keselamatan di kediaman dan premis masing-masing serta segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau menerusi talian 088-875222.
Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.



