ADVERTISEMENTspot_img

KEMAS Pergiat Usaha Tingkat Kemahiran Masyarakat Luar Bandar

 Ahmad (tiga dari kanan) mengiringi Juliah (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada peserta KEMAS.-foto: Penerangan

KOTA KINABALU: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sabah terus mempergiat usaha dalam membantu meningkatkan pengetahuan masyarakat luar bandar melalui pendidikan kemahiran.

Pengarah KEMAS Sabah, Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi berkata, program pendidikan kemahiran yang dijalankan bertujuan memberikan penonjolan serta keterampilan kepada para peserta, agar mereka berani menceburi bidang perniagaan di dunia luar.

“Para peserta akan mengikuti kelas-kelas pengajian yang akan berlangsung selama setahun bagi memberikan pendedahan asas kemahiran mengikut minat peserta, sekali gus membuka peluang kepada sektor keusahawanan bagi menjana pendapatan tambahan keluarga.

“Antara kemahiran yang menjadi pilihan para peserta merupakan bidang seperti masakan, jahitan, dandanan diri serta seni tangan yang sentiasa mendapat perhatian tinggi terutamanya daripada golongan wanita dan suri rumah.

“Kapasiti yang terhad dalam setiap kelas juga akan dapat membantu bagi memastikan keberkesanan latihan, sebelum peserta berganti pada tahun berikutnya,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Mini Konvokesyen Unit Pendidikan Kemahiran dan Pembangunan Komuniti KEMAS Daerah Tuaran, di sini, pada Rabu.

Beliau menggalakkan orang ramai yang berminat mengikuti kelas-kelas kemahiran yang ditawarkan supaya berkunjung ke Pejabat KEMAS di daerah masing-masing untuk keterangan lanjut.

Ahmad turut memaklumkan, pihak KEMAS turut menyediakan geran kepada para peserta yang sudah tamat pengajian untuk menceburi bidang keusahawanan melalui inisiatif Quick Win.

“Peserta yang tamat latihan dan berjaya melepasi sesi temuduga layak memohon geran inisiatif kit keusahawanan bernilai RM5,000. 

“Bantuan ini disesuaikan mengikut bidang yang diikuti seperti mesin jahit untuk bidang jahitan serta oven dan pengadun (mixer) bagi bidang masakan, tertakluk kepada peruntukan kerajaan,” ujarnya.

Beliau berharap agar para peserta tidak melepaskan peluang untuk mengembangkan potensi dalam dunia keusahawanan melalui inisiatif-inisiatif yang disediakan oleh KEMAS ataupun oleh agensi-agensi kerajaan lain.

Dalam majlis itu, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag merasmikan konvokesyen seterusnya menyampaikan sijil kepada 149 peserta KEMAS Tuaran yang berjaya menamatkan latihan dalam pelbagai bidang kemahiran./Penerangan-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN