ADVERTISEMENTspot_img

LPL Yakin Megah Port mampu kendali perkhidmatan Marin dengan cekap

Mizool (tiga dari kiri), Pactrik (empat dari kiri) bersama jemputam khas dan staff MPM bergambar kenangan sempena Peluncuran Kapal Tunda MPM.

LABUAN: Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) yakin syarikat pengendali pelabuhan kontena Labuan, Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) mampu mengendalikan perkhidmatan marin dengan lancar, selamat dan cekap.

Pengurus Besarnya Mizool Amir Mat Drus berkata pelaksanaan perkhidmatan marin itu telah lama dirancang dengan penekanan diberikan kepada pelantikan operator yang diberi kuasa serta mempunyai pengalaman, kepakaran dan tenaga kerja mahir.

Beliau berkata perkhidmatan marin itu dilaksanakan selaras dengan peruntukan berkaitan perkhidmatan marin di bawah Perjanjian Operation, Facility and Management Continuation yang dimeterai baru-baru ini antara MPM dan LPL.

Katanya, LPL sebagai pihak berkuasa pelabuhan akan sentiasa
memastikan operator yang dilantik mempunyai keupayaan dan komitmen yang diperlukan untuk melaksanakan perkhidmatan marin dalam had pelabuhan.

“Kami optimis MPM mampu mengendalikan perkhidmatan ini dengan lancar demi manfaat pengguna pelabuhan dan pemain industri,” katanya ketika ditemui media, pada Majlis Peluncuran Kapal Tunda dan Pelancaran Perkhidmatan Marin MPM di Jeti Dermaga Merdeka di sini, pada Rabu.

Mizool berkata LPL dan MPM telah bekerjasama rapat bagi memastikan semua perkhidmatan berkaitan marin dan maritim di Pelabuhan Labuan dilaksanakan selaras dengan piawaian maritim antarabangsa serta keperluan keselamatan berkaitan.

Beliau berkata penyelarasan rapat antara pihak berkuasa pelabuhan dan operator amat penting bagi memastikan pergerakan kapal, operasi penundaan serta aktiviti marin lain dilaksanakan dengan selamat, cekap dan tanpa gangguan.

“Kerjasama ini bertujuan memastikan semua perkhidmatan berkaitan berjalan lancar serta memberikan manfaat nyata kepada pengguna pelabuhan, syarikat perkapalan dan pemain industri lain yang beroperasi di dalam kawasan pelabuhan,” katanya.

Mizool berkata perolehan empat buah kapal tunda bernilai RM23 juta oleh MPM membuktikan komitmen tinggi operator itu dalam melaksanakan tanggungjawabnya di bawah perjanjian berkenaan.

“Pelaburan dalam aset ini jelas mencerminkan komitmen penuh Megah Port Management untuk menyediakan kemudahan dan keupayaan operasi yang diperlukan bagi menyokong pelaksanaan perkhidmatan marin di Pelabuhan Labuan,” katanya.

Beliau berkata kapal-kapal tunda itu akan memperkukuh keupayaan operasi pelabuhan, khususnya dalam membantu kapal semasa proses merapat dan meninggalkan dermaga, bergerak dalam ruang perairan yang terhad serta memberikan tindak balas terhadap kecemasan maritim.

Mizool berkata LPL akan terus bekerjasama rapat dengan MPM serta agensi penguatkuasaan dan keselamatan maritim berkaitan bagi memastikan perkhidmatan itu mematuhi undang-undang, peraturan dan piawaian antarabangsa yang berkuat kuasa.

Majlis pelancaran itu turut menampilkan demonstrasi tindak balas kecemasan yang mempamerkan keupayaan kapal-kapal tunda dalam memberikan sokongan pemadaman kebakaran sekiranya berlaku insiden maritim di perairan Labuan.

Hadir sama, Pengarah Urusan MPM, Datuk Seri Pactik Tiong, Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Mohd Hafiz Daud, Timbalan Ketua Polis Labuan, Deputi Superitendan Ridzuan Ismail @ Robin, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Labuan, Emel Taihin dan Ketua Pegawai Eksekutif MPM, Idjal Tahir.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN