ADVERTISEMENTspot_img

Ewon alu-alukan kerjasama strategik tiga syarikat perkukuh industri maritim Sabah

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan kerjasama strategik yang dimeterai antara Eastport Marine Sdn Bhd, BMM Marine Services Sdn Bhd dan KCCI Venture Sdn Bhd bagi memperkukuh industri maritim serta meningkatkan penawaran perkhidmatan berkaitan di negeri ini.

Beliau berkata, inisiatif membabitkan tiga pemain industri tempatan itu mencerminkan komitmen sektor swasta untuk memperkukuh kerjasama sekali gus meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kepada industri.

“Saya mengalu-alukan kerjasama seperti ini di antara pemain-pemain industri tempatan sesuai dengan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan Wawasan Sabah First di Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah.

“Mudah-mudahan hasil pemeteraian ini memberi manfaat bukan sahaja kepada ketiga-tiga pihak yang terlibat, malah kepada industri maritim di Sabah serta perkhidmatan berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Eastport Marine Sdn Bhd, BMM Marine Services Sdn Bhd dan KCCI Venture Sdn Bhd di Wisma Perindustrian, di sini, pada Khamis.

Ewon berkata, kementeriannya sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik seumpama itu dan berharap ia dapat memenuhi keperluan perkhidmatan industri yang sedang berkembang, khususnya di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata pemeteraian MoA itu bukan sekadar memeterai perjanjian perniagaan, malah mencerminkan keyakinan industri tempatan terhadap potensi Ekonomi Biru Sabah yang semakin berkembang.

Katanya, kerjasama itu turut menunjukkan komitmen syarikat-syarikat berpangkalan di Sabah untuk berganding bahu membangunkan keupayaan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta memperkukuh kapasiti jangka panjang industri maritim negeri.

Ewon berkata, Sabah kini berada dalam fasa pertumbuhan perindustrian yang memberangsangkan dengan pelaburan dalam sektor kargo pukal kering, minyak dan gas, petrokimia, logistik, tenaga boleh baharu serta Ekonomi Biru yang dijangka terus meningkatkan permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan sokongan maritim.

Menurutnya, antara perkhidmatan yang semakin diperlukan ialah perkhidmatan tunda pelabuhan, logistik maritim luar pesisir, pengendalian kapal, sokongan pemanduan kapal, perkhidmatan tambatan kapal serta keupayaan tindak balas kecemasan yang memerlukan tahap profesionalisme, kecekapan teknikal dan pematuhan aspek keselamatan yang tinggi.

Beliau turut menyifatkan kerjasama antara Eastport Marine, BMM Marine Services dan KCCI Venture sebagai contoh kolaborasi strategik yang terus digalakkan oleh Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem maritim Sabah.

“Eksosistem maritim yang bersepadu melibatkan infrastruktur pelabuhan moden, penyedia perkhidmatan yang berdaya saing, tenaga profesional tempatan yang berkemahiran serta kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta amat penting untuk meningkatkan daya saing Sabah sebagai hab maritim serantau,” katanya.

Beliau berharap Memorandum Perjanjian yang dimeterai itu akan diterjemahkan kepada kerjasama yang produktif dan berkekalan, sekali gus memberi nilai tambah kepada syarikat-syarikat terlibat, membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah serta menyumbang kepada pertumbuhan berterusan industri maritim dan minyak serta gas di negeri ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN