Ewon menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Homestay Kumpat River Campsite.
KIMANIS: Kumpat River Campsite di Membakut berpotensi menjadi antara tarikan pelancongan desa baharu di kawasan Kimanis seterusnya merancakkan aktiviti keusahawanan serta ekonomi komuniti setempat.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, perusahaan pelancongan desa seperti Kumpat River Campsite mempunyai keunikan tersendiri yang mampu menarik kehadiran pelancong, sekali gus menggerakkan aktiviti keusahawanan serta menjana pendapatan masyarakat luar bandar.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Hajah Saripah Musah atas usaha membangunkan perusahaan ini yang menyediakan pelbagai kemudahan termasuk tapak perkhemahan, riadah, memancing, dewan serbaguna, penginapan, kolam mandi serta perkhidmatan lain yang berkaitan.
“Perusahaan perkhidmatan pelancongan desa seperti ini mempunyai tarikan tersendiri yang saya percaya boleh menggerakkan aktiviti keusahawanan berkaitan di desa-desa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan upacara ringkas perasmian Kumpat River Campsite di Membakut, hari ini.
Pada majlis sama, Ewon turut menyampaikan replika cek Dana Khas Pembangunan Keusahawanan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah kepada dua persatuan iaitu Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah dan Persatuan Etnik Kuizou Membakut Sabah.
Beliau berharap dana berkenaan dapat dimanfaatkan bagi memperkukuhkan pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti keusahawanan oleh kedua-dua persatuan berkenaan, sekali gus menyokong usaha memperkasa pembangunan ekonomi komuniti setempat.



