Nizam (tiga dari kiri) bersama jawatankuasa induk SUKMA dan PARA SUKMA Sabah semasa sidang media di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Oleh: Vitalis G. Bingkasan
KOTA KINABALU: Sabah mensasarkan 66 pingat emas iaitu jumlah yang diharapkan mampu merampas semula gelaran juara Kejohanan PARA SUKMA 2026 Selangor.
PARA SUKMA 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 5-11 September mempertandingkan 10 sukan dan Sabah akan mengambil bahagian dalam kesemua acara.
Acara yang dipertandingkan itu adalah badminton, boccia, boling padang, catur, memanah, olahraga, ping pong, powerlifting, renang dan tenpin boling.
Sabah akan menghantar kontinjen dengan kekuatan 271 anggota yang terdiri daripada 154 atlet dan 117 pegawai.
Nisbah jumlah pegawai pengiring PARA SUKMA agak tinggi kerana ramai atlet memerlukan bimbingan `satu jaga satu´ atas kesulitan fizikal seperti penggunaan keusi roda dan masalah penglihatan.
Kontinjen Sabah akan diketuai Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK), Datuk Mansur Asun selaku Chef De Mission.
Telah membuat persiapan rapi, kontinjen Sabah diharap dapat merampas semula gelaran juara yang dirangkulnya buat julung kali pada PARA SUKMA 2022 Kuala Lumpur dengan pencapaian 54 emas, 36 perak dan 35 gangsa, menewaskan juara bertahan, Sarawak yang memenangi 50 emas, 47 perak dan 49 gangsa selaku naib juara.
Sabah mencatat rekod pencapaian terbaik sukan dwi-tahunan bagi atlet OKU itu pada PARA SUKMA 2024 Sarawak dengan memenangi 62 emas, 42 perak dan 32 gangsa tetapi gagal mempertahankan gelaran juaranya.
Pencapaian itu sekadar meletakkan Sabah selaku naib juara manakala pasukan tuan rumah, Sarawak kembali bergelar juara dengan pencapaian 82 emas, 53 perak dan 74 gangsa.
“Pada PARA SUKMA kali ini, kita mensasarkan 66 pingat emas, sasaran yang saya rasa realistik dalam usaha kita untuk muncul semula selaku juara keseluruhan,” kata Menteri KBSK, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan dalam satu sidang media di sini, baru-baru ini.



