KOTA KINABALU: Pengurusan sisa di Sabah perlu dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh, merangkumi aspek kelestarian alam sekitar, tadbir urus tempatan, peluang ekonomi dan kesejahteraan masyarakat, selaras dengan perkembangan kawasan bandar serta perubahan corak penggunaan.
Sehubungan itu, Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS) dengan kerjasama Konrad-Adenauer-Stiftung (KAS) Malaysia akan menganjurkan seminar dan Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) bertajuk “Trash Talk to Action: Understanding Sabah’s Changing Waste Management Landscape” pada 21 September ini di Le Méridien Kota Kinabalu.
IDS dalam kenyataan hari ini memaklumkan program berkenaan merupakan siri pertama dalam inisiatif libat urus dasar yang lebih luas bagi membina pemahaman bersama mengenai landskap pengurusan sisa di Sabah.
Program itu akan menghimpunkan wakil agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, ahli akademik, pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil, komuniti dan rakan pembangunan bagi membincangkan isu, cabaran serta realiti pengurusan sisa di negeri ini.
Menurut kenyataan itu, perbincangan akan memberi tumpuan kepada situasi semasa, trend baharu serta perbezaan cabaran pengurusan sisa yang dihadapi setiap daerah di Sabah.
Antara topik yang akan diketengahkan termasuk perubahan landskap pengurusan alam sekitar Sabah, pengurusan sisa di peringkat tempatan, pengurusan sisa mampan bagi komuniti kepulauan, pengurusan sisa di kawasan luar bandar serta perspektif komuniti terhadap cabaran sebenar di lapangan.
Komponen utama program ialah FGD bertajuk “One State, Different Waste Realities” yang memberi ruang kepada peserta meneliti perbezaan keadaan antara daerah dan komuniti serta kesannya terhadap keberkesanan sistem pengurusan sisa.
“Setiap daerah di Sabah berdepan keadaan yang berbeza. Faktor geografi, infrastruktur, keupayaan institusi serta akses kepada perkhidmatan pengurusan sisa boleh berbeza dengan ketara antara satu kawasan dengan kawasan lain,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata sesi meja bulat itu bertujuan mewujudkan asas pengetahuan dan pemahaman bersama sebelum perbincangan diperluaskan kepada aspek tadbir urus, penyelarasan institusi serta pelaksanaan jangka panjang.
“Pengurusan sisa adalah tanggungjawab bersama. Ia bukan sahaja melibatkan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, malah komuniti, sektor perniagaan, masyarakat sivil serta setiap individu.
“Dengan menghimpunkan pelbagai perspektif ini, kita berharap dapat memahami dengan lebih baik realiti sebenar di lapangan dan mengenal pasti ruang serta peluang untuk memperkukuh pendekatan Sabah terhadap pengurusan sisa,” katanya.
IDS berkata inisiatif Trash Talk to Action bertujuan menyokong perbincangan dasar pengurusan sisa yang lebih berasaskan maklumat dan pemahaman menyeluruh, tanpa terus menjurus kepada penyelesaian tertentu.
Sebaliknya, pendekatan itu akan memberi tumpuan kepada penghimpunan pengetahuan sedia ada, inisiatif yang sedang dilaksanakan dan trend baharu, selain menghubungkan perbincangan dasar dengan pengalaman sebenar masyarakat di lapangan.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan selaras dengan peranan IDS sebagai badan pemikir kerajaan yang menyokong proses membuat keputusan dan pembangunan dasar Sabah berasaskan penyelidikan.
Kerjasama dengan KAS Malaysia pula menyediakan ruang bagi pertukaran pengetahuan serta penglibatan lebih luas pihak berkepentingan dalam isu tadbir urus alam sekitar dan pembangunan mampan.
Program itu dijangka diakhiri dengan rumusan pemerhatian utama serta bidang yang memerlukan libat urus berterusan, yang seterusnya boleh menjadi asas kepada aktiviti susulan di bawah program libat urus dasar yang lebih menyeluruh.
Secara keseluruhannya, inisiatif berkenaan melihat pengurusan sisa bukan sekadar isu kutipan dan pelupusan sampah, sebaliknya berkait rapat dengan pembangunan alam sekitar, ekonomi dan sosial Sabah.



