ADVERTISEMENTspot_img

Lima jalan raya, tiga jambatan utama bernilai RM317.89 juta dilaksanakan di Kadamaian: Ewon

KOTA BELUD: Sebanyak lima projek jalan raya dan tiga jambatan utama melibatkan peruntukan keseluruhan RM317.89 juta telah dan sedang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian bagi tempoh 2025 dan 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata, dua daripada jambatan itu, iaitu Jambatan Kampung Kaung dan Jambatan Kampung Melangkap, sudah siap sepenuhnya serta dibuka kepada pengguna jalan raya.

“Kelmarin, saya meninjau hasil pelaksanaan pembinaan kedua-dua jambatan konkrit berkenaan yang kini sudah digunakan oleh penduduk dan pengguna jalan raya.

“Jambatan Kampung Kaung dibina dengan kos RM14.3 juta, manakala Jambatan Kampung Melangkap melibatkan peruntukan RM9 juta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, satu lagi projek yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan Jambatan Sungai Tokulung di Kampung Lompios dengan kos RM9.1 juta.

Katanya, lima projek menaik taraf jalan utama di Kadamaian juga sedang giat dilaksanakan, iaitu Jalan Tengkurus–Lahanas dengan kos RM61.4 juta, Jalan Sayap (RM129 juta), Jalan Podos–Taginambur (RM26.1 juta), Jalan Pirasan–Lentigi (RM47.2 juta) dan Jalan Taginambur–Kamburaon (RM21.4 juta).

Beliau berkata, Jalan Lentigi–Kinasaraban–Pirasan kini sudah boleh dilalui, khususnya oleh pengguna dari Kota Kinabalu menuju ke kawasan Kadamaian tanpa perlu melalui Pekan Kota Belud dan sebaliknya.

“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi lima projek jalan raya dan tiga jambatan utama ini ialah sebanyak RM317,891,480.60.

“Bagi pihak rakyat Kadamaian, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas peruntukan yang disediakan bagi melaksanakan projek-projek pembangunan ini,” katanya.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek-projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik.

Beliau berkata, pelaksanaan projek jalan raya dan jambatan itu merupakan sebahagian daripada usaha menjayakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020–2035.

“Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020–2035 akan terus dijayakan menerusi kebersamaan dan kerjasama pelbagai pihak.

“Selaku ADUN Kadamaian, saya akan terus memimpin usaha menjayakan agenda pembangunan Kadamaian berteraskan semangat Sabah First,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN