ADVERTISEMENTspot_img

SK NAPONG SEMARAK PATRIOTISME, KREATIVITI MURID MENERUSI SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN

TERBAIK……..Pemenang Pertandingan Bintang Merdeka Kategori PIBGK tempat pertama, kedua dan ketiga merakam gambar bersama Emily (tengah) dan sebahagian warga pendidik SK Napong Ranau.

Oleh: Salwah Aramat & Editor

RANAU: Semangat patriotisme, kecintaan terhadap negara dan keceriaan murid terus disemarakkan menerusi Majlis Penangguhan Bulan Kebangsaan dan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Napong, di sini baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Terbuka SK Napong dari 8.30 pagi hingga 12.40 tengah hari itu menghimpunkan murid, guru, staf sokongan, ibu bapa, penjaga serta jemputan dalam suasana meriah dan penuh semangat kebersamaan.

Guru Besar SK Napong Emily William berkata sambutan Bulan Kebangsaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah penting untuk menyemai semangat patriotisme, kecintaan kepada negara serta penghargaan terhadap warisan dan identiti Malaysia dalam kalangan murid.

Menurutnya, pelbagai aktiviti yang dilaksanakan sepanjang sambutan, termasuk nyanyian lagu patriotik, meniru tokoh negara dan pengisian berkaitan sejarah kemerdekaan, dapat membantu murid mengenali sejarah, menghargai kemerdekaan serta memupuk rasa tanggungjawab terhadap negara.

“Pada masa sama, Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia memberi ruang kepada murid untuk menyerlahkan kreativiti, bakat dan ekspresi diri menerusi pelbagai aktiviti seperti mewarna, fesyen kreatif, swafoto, persembahan nyanyian serta Chef Cilik.

“Setiap murid mempunyai keistimewaan dan potensi masing-masing. Tugas kita sebagai guru dan ibu bapa bukan sahaja membantu mereka mencapai kecemerlangan akademik, tetapi memberi ruang untuk mereka berani mencuba, berkarya, berkomunikasi dan membina keyakinan diri,” katanya ketika merasmikan majlis penangguhan berkenaan.

Emily turut berpesan kepada murid supaya sentiasa menjadi anak yang baik, beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya saing dan berkeyakinan, selain menghormati ibu bapa serta guru, menyayangi rakan dan berusaha memberikan yang terbaik dalam kehidupan.

Beliau berkata kemenangan atau kekalahan dalam sesuatu pertandingan bukan perkara paling utama, sebaliknya keberanian untuk mencuba, kesungguhan mengambil bahagian serta sikap saling menyokong antara satu sama lain perlu diberi keutamaan.

Dalam pada itu, Emily merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga atas kehadiran, sokongan serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.

Katanya, kejayaan pendidikan anak-anak merupakan hasil usaha bersama antara pihak sekolah, keluarga dan komuniti.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai aktiviti dan persembahan, antaranya nyanyian lagu patriotik, persembahan pemenang pertandingan nyanyian Merdeka, fesyen kreatif, swafoto, tiru tokoh negara dan nyanyian solo.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang turut diadakan sebagai penghargaan terhadap penyertaan dan pencapaian murid dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

Turut mengambil bahagian ialah Kompleks Kluster Koko Ranau yang menyediakan reruai jualan coklat untuk para hadirin.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan cabutan tiket bertuah dan jamuan makan di bangunan SK Napong.

Turut hadir Penolong Kanan Pentadbiran SK Napong Tuan Arif bin Tuan Sulaiman dan Yang Dipertua PIBG SK Napong Shafie bin Suamin, selain guru-guru serta ibu bapa.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN