PENAMPANG: Seorang pekerja binaan lelaki warga asing berusia 20 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan dalam pembinaan di Jalan Bundusan, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang berlaku kira-kira 10.40 pagi.
“Siasatan awal mendapati mangsa sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan di aras 20 bangunan berkenaan sebelum dipercayai terjatuh ke aras bawah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan di lokasi kejadian dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama pasukan Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Sammy berkata mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
Orang ramai juga diminta supaya tidak menyebarkan gambar atau video berkaitan kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga dan waris mangsa.



