Azman menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar.
KENINGAU: Sumbangan pendidikan kepada bakal mahasiswa dan mahasiswi diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada golongan muda untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang pendidikan.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) P.180 Keningau, Datuk Azman Hj Ruslan, berkata pendidikan merupakan pelaburan penting bagi memastikan Sabah mempunyai generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Beliau berkata, matlamat Kerajaan Negeri Sabah bersama adalah memastikan anak-anak muda mendapat akses kepada pendidikan serta sokongan sewajarnya bagi membantu mereka mencapai kejayaan.
“Anak-anak muda yang berilmu dan berkemahiran merupakan aset penting kepada negeri kerana mereka bakal menjadi generasi yang akan meneruskan agenda pembangunan Sabah pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Sumbangan Pendidikan PGRS Bahagian Keningau kepada bakal mahasiswa dan mahasiswi di pejabatnya pada Ahad.
Menurutnya, bantuan berkenaan bukan sekadar sumbangan berbentuk kewangan, tetapi turut menjadi tanda keprihatinan terhadap usaha anak-anak muda dalam melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Azman berharap semua penerima menggunakan peluang pendidikan dengan sebaik-baiknya serta terus berusaha mencapai kecemerlangan demi masa depan diri, keluarga dan negeri Sabah.
“Semoga sumbangan ini dapat memberikan semangat dan dorongan kepada semua bakal mahasiswa dan mahasiswi untuk terus berusaha mencapai cita-cita,” katanya.



