ADVERTISEMENTspot_img

Komuniti JahitJana Perkasa Ekonomi Wanita Luar Bandar di Ranau

TERBAIK…….Sebahagian Peserta Wanita Kg. Skim Dua merakam gambar bersama Hadzrul (kanan) dan Norita (dua kanan) yang turut memperlihatkan produk jahitan sempena program tersebut.

Oleh: Salwah Aramat & Admin

RANAU: Program Komuniti Perniagaan Jahitan bertemakan Komuniti JahitJana di Kampung Lohan Skim Dua mula menunjukkan impak positif dalam memperkasa ekonomi wanita luar bandar menerusi pembangunan kemahiran jahitan dan keusahawanan sejak diperkenalkan awal tahun ini.

Program yang diselia oleh APPGM-SDG P.179 Ranau menerusi penyelarasnya, Norita Yapi, menghimpunkan 18 wanita dari kampung berkenaan bagi mengikuti latihan kemahiran jahitan sebagai usaha membina sumber pendapatan mampan serta menggalakkan penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan.

Walaupun masih berada pada peringkat awal pelaksanaan, peserta berjaya menghasilkan enam produk jahitan dengan bantuan beberapa mesin jahit yang disediakan bagi menyokong operasi pengeluaran.

Pencapaian itu mencerminkan peningkatan kemahiran peserta, selain membuktikan potensi perusahaan jahitan komuniti sebagai pemangkin kepada lahirnya usahawan wanita desa yang lebih berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

Bagi menilai perkembangan program, satu lawatan pemantauan telah diadakan menerusi kerjasama antara APPGM-SDG P.179 Ranau dan UPPM N.38 Paginatan, diketuai oleh Chief Development Officer (CDO), Hadzrul Masnin bersama pegawai berkaitan.

Lawatan berkenaan bertujuan meninjau kemajuan peserta di samping mengenal pasti keperluan yang boleh dipenuhi melalui kerjasama strategik antara agensi, termasuk penyediaan kemudahan, penambahan peralatan, latihan lanjutan dan akses kepada pasaran bagi memastikan perusahaan yang dibangunkan mampu berkembang secara mampan.

Pendekatan berteraskan pembangunan komuniti seperti Komuniti JahitJana dilihat berupaya memperkukuh peranan wanita sebagai penggerak ekonomi keluarga, selain mewujudkan peluang keusahawanan yang mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Inisiatif itu juga selaras dengan aspirasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Paginatan, Datuk Rusdin Riman, dalam memperkasa wanita, merancakkan ekonomi desa serta memperluaskan pelaksanaan Ekonomi Rahmah di kawasan berkenaan.

Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan serta rakan strategik, Komuniti JahitJana diyakini berpotensi berkembang sebagai model pembangunan ekonomi komuniti yang mampan dan mampu memberi manfaat lebih luas kepada kesejahteraan penduduk luar bandar.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN