ADVERTISEMENTspot_img

Ujian talasemia bakal pengantin masih dalam perbincangan: JHEAINS

Datuk Jumain Abdul Ghani



KOTA KINABALU: Ujian saringan talasemia bagi pasangan bakal pengantin di Sabah masih belum diwajibkan kerana ia kini berada pada peringkat perbincangan antara pihak berkuasa berkaitan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, buat masa ini hanya ujian saringan HIV diwajibkan sebelum pasangan melangsungkan perkahwinan.

“Buat masa ini, talasemia belum menjadi syarat wajib dan tiada tempoh atau tarikh pelaksanaan ditetapkan kerana ia masih dibincangkan di peringkat pihak berkepentingan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Sistem Permohonan Kebenaran Berkahwin Atas Talian (eKahwin) dan Sistem Pembayaran Melalui Platform FPX di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada Jumaat.

Majlis itu disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Mengulas mengenai sistem eKahwin, Jumain berkata ia diwujudkan bagi memudahkan urusan pasangan pengantin dengan kehadiran secara fizikal hanya diperlukan dalam kes atau isu yang memerlukan siasatan lanjut oleh Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk.

“Contohnya dalam kes keraguan menetapkan wali, status nasab pemohon perempuan, isu dokumen pengenalan diri atau lain-lain perkara khas yang memerlukan pengesahan lanjut.

“Permohonan kebenaran berkahwin secara atas talian hanya diproses setelah semua maklumat dan dokumen dilengkapkan sebelum disemak oleh Pendaftar Penyemak dan diluluskan Pendaftar Pelulus.

“Setelah diluluskan, pemohon perlu menjelaskan fi ditetapkan sebelum kebenaran berkahwin diberikan kepada kedua-dua pihak serta penetapan juru nikah dibuat bagi memastikan akad nikah berlangsung mengikut hukum syarak,” katanya.

Beliau menegaskan pelaksanaan sistem itu akan memastikan pengurusan perkahwinan menjadi lebih berintegriti, teratur dan sistematik selaras dengan keperluan semasa.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN