YUSUP (kiri) menerima buku Bicara Ilmu, Inovasi, dan Kreativiti’ daripnda Dr. Hyginus Lester di pejabatnya, pada Isnin
LABUAN: Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, |Yusup Mohamad melancarkan buku berjudul ‘Bicara Ilmu, Inovasi dan Kreativiti terbitan Persatuan Penyelidikan Inovasi dan Kreativiti Labuan (LaRIS) secara dalam talian melalui Youtube, pada Isnin.
Buku yang julung kali diterbitkan oleh persatuan itu mengandungi tiga bahagian iaitu kajian, inovasi dan kreativiti.
Tiga kajian tindakan dan satu kajian tinjauan dimuatkan dalam bahagian pertama manakala lima inovasi dikongsikan dalam bahagian kedua.
Bahagian kreativiti pula adalah penulisan dua teknik penulisan kajian tindakan dan penghasilan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Menurut penulis utama buku tersebut, Dr. Hyginus Lester Junior Lee, buku tersebut merealisasikan matlamat persatuan iaitu mempromosi, menjalankan, mengedar dan menerbitkan kajian dan bahan ilmiah.
Beliau berharap buku ini menjadi rujukan tambahan guru-guru dalam menambah baik kualiti pedagogi dan pembelajaran murid.
Yusup ketika melancarkan buku tersebut menyeru agar guru-guru mengambil masa menambah ilmu melalui pembacaan yang luas dan merebut ruang dan peluang meningkatkan kualiti pengajaran melalui kajian tindakan dan inovasi.
Tambahnya lagi, penerbitan buku mampu memberi inspirasi dan semangat kepada guru untuk berkecimpung dalam kajian kerana ia dapat membantu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam amalan pengajaran dan pembelajaran.
“Inovasi pula boleh menambah baik kualiti pedagogi guru dan pembelajaran murid dengan pengenalan produk, pendekatan dan strategi baharu dan menyumbang kepada kemenjadian murid,”katanya.
Yusup juga mengucapkan tahniah kepada Dr. Hyginus Lester yang kini bertugas di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Cikgu Goh Kok Ming (SJKC Chi Sheng 2, Perak) kerana telah mengambil inisiatif menulis dan membukukan kajian dan inovasi mereka untuk dikongsikan kepada warga pendidik.
Dr. Hyginus yang juga Pengerusi LaRIS menyumbang 10 penulisan manakala Goh menyumbang satu pelaporan inovasi.
Majlis pelancaran buku boleh diikuti melalui https://youtu.be/Awj7DgAvBL4