YUSRIE…. menerima hadiah daripada Mohd Azhari (dua kiri) sambil diperhatikan Ibrahim (dua kanan, Mohd Syahffie (kanan sekali dan Nazera.
LABUAN: Ahli Parlimen Belia Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan, Yusrie Mohd Daud dinobat sebagai penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2023 bagi kategori individu lelaki peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
Yusrie, 23, yang juga Pengasas Persatuan Mahasiswa dan Siswazah Labuan menerima hadiah wang tunai RM3,000, piala iringan dan sijil penghargaan.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Majlis Belia Labuan, Soffea Syarina Sophian, 22, dinobat sebagai penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2023 bagi kategori wanita.
Soffea yang juga Ahli Majlis Perundingan Belia Negara peringkat Labuan menerima hadiah wang tunai RM3,000, piala iringan dan sijil penghargaan, selain itu beliau juga merupakan anak sulung kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Labuan, Sophian Said.
Kedua-dua mereka diumumkan sebagai penerima utama anugerah itu pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2023 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, pada Sabtu.
Naib johan bagi kategori lelaki dimenangi oleh Edzanfauzan Tamin untuk menerima hadiah wang Tunai RM1,500, piala iringan dan sijil penghargaan.
Tempat ketiga dimenangi oleh Mohd Rendy Ricky dari Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL) menerima hadiah wang tunai RM500.00 dan sijil penghargaan.
Sementara itu naib johan kategori wanita dimenangi oleh Aina Aiza Rosli dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menerima hadiah wang tunai RM1,500, piala iringan dan sijil penghargaan.
Tempat ketiga dimenangi oleh Ain Aznina Lamit dari Kelab Belia Anak Layangan (Kebal) menerima hadiah wang tunai RM500 dan sijil penghargaan.
SOFFEA… menerima hadiah selepas dinobat pemenang Anugerah Perdana Belia Negara 2023 ketagori Wanita peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
Dalam pada itu Junior Chamber International (JCI) Labuan dinobat sebagai pemenang Anugerah Perdana Belia Negara 2023 peringkat Labuan bagi kategori Pertubuhan untuk menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan piala iringan serta sijil penghargaan.
Naib johan dimenangi oleh Kelab Belia dan Beliawanis Kampung Sungai Lada (BELADA) untuk menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penghargaan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd Azhari Mohammad.
Hadir sama, Presiden Majlis Belia Labuan (MBL), Nazera Roslan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan), Perbadanan Labuan, Ibrahim Tambi, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abd. Hamid dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mohammad Syahffie Haji Japril.