Pasukan Kadet Bomba SMK Mutiara yang dinobat juara keseluruhan bersama Abdul Rahman (berdiri tengah barisan belakang).
LABUAN: Seramai 241 Kadet Bomba dari 10 buah sekolah di sini, berperanan sebagai duta keselamatan kebakaran selepas berjaya mengikuti Program Kadet Bomba Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan, Abdul Rahman Ali berkata program tersebut merupakan satu platform membentuk generasi muda untuk berdisiplin, mempunyai daya kepimpinan, ketahanan diri serta semangat kerja berpasukan.
Beliau juga yakin program Kadet Bomba yang berlangsung selama tiga hari itu mampu meningkatkan kesedaran dan keselamatan kebakaran sambil menegaskan program tersebut menjadi titik permulaan untuk terus memperkukuhkan program Kadet Bomba dan Penyelamat pada masa akan datang.
‘Saya amat berbangga seramai 241 orang murid daripada 10 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya menyertai program pada kali ini.
“Syabas dan tahniah kepada semua peserta atas komitmen, disiplin serta semangat yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung”, katanya ketika berucap merasmikan Program Kadet Bomba Peringkat JBPM Labuan di perkarangan Ibu Pejabat JBPM, Rancha Rancha di sini, pada Ahad.
Pelbagai aktiviti dan pertandingan bagi menguji kekuatan fizikal, ketangkasan berfikir, kemahiran, komunikasi, disiplin serta keupayaan bekerjasama sebagai satu pasukan.
Antara aktiviti yang telah dipertandingkan termasuk lah pertandingan Ikatan dan Sipulan, ASPEC Challenge, Kawad Operasi Kering dan Brain and Brawn serta Kadet Challenge.
Sementara Pasukan Kadet Bomba SMK Mutiara dinobat juara keseluruhah pertandingan tersebut diikuti SM St. Anne dan ketiga SMK Sains.



