Juliah dan Redonah melawat pameran
KOTA MARUDU: Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) Peringkat Daerah Kota Marudu 2025 yang berlangsung di Dewan PPR Jaya, Kerongkom hari ini mengetengahkan pendekatan holistik dalam pemerkasaan wanita melalui program Santuni Kasih: Teknologi dan Nilai Keluarga.
Majlis perasmian disempurnakan oleh isteri Ketua Menteri Sabah merangkap Yang Dipertua MUTIARA GRS, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, dan disertai pelbagai agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam ucapan alu-aluannya, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda menegaskan kepentingan kolaborasi pelbagai pihak dalam menangani isu kesihatan wanita, khususnya berkaitan kanser serviks dan payudara yang semakin membimbangkan.
“Pemeriksaan awal seperti HPV DNA dan mamogram amat penting. Saya menyeru semua wanita yang layak agar merebut peluang menjalani saringan percuma yang ditawarkan menerusi program ini,” katanya.
Redonah turut menyatakan bahawa tema program yang menggabungkan teknologi dan nilai kekeluargaan mampu memperkukuh institusi keluarga jika dimanfaatkan secara bijak.
“Teknologi seharusnya menjadi alat pemerkasaan, bukan pemisah dalam hubungan kekeluargaan,” tambah beliau.
Beliau berkata, penganjuran program sedemikian di kawasan luar bandar seperti Kota Marudu memberi akses penting kepada maklumat dan perkhidmatan kesihatan yang selama ini sukar dicapai oleh komuniti setempat.
“Ini bukan sekadar program kesedaran, tetapi titik tolak kepada usaha jangka panjang dalam memperkasa komuniti dengan sokongan pelbagai pihak,” ujarnya.
Redonah turut menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga kesihatan wanita bukan hanya terletak di bahu wanita semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan keluarga dan masyarakat secara menyeluruh.
Beliau turut menyeru para peserta agar menjadi agen perubahan dengan menyebarkan maklumat yang diperoleh kepada orang lain.
“Jangan simpan maklumat ini untuk diri sendiri sahaja, tetapi sebarkan dan ajak orang lain agar sama-sama kita pelihara kehidupan dan kesihatan wanita yang menjadi tulang belakang keluarga,” katanya lagi.
Program WCaRe anjuran bersama LPPKN, MUTIARA GRS, Pejabat Daerah Kota Marudu, PDRM, RELA, SESB, hospital dan jabatan-jabatan kerajaan itu merupakan penganjuran julung kali di daerah berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan lawatan pameran kesihatan serta penyerahan cenderahati oleh Datuk Redonah kepada Datin Seri Panglima Juliah.



