Superitendan Ahmad Jawila
LABUAN: Gara-gara mendedahkan data peribadi berkaitan akaun bank seorang wanita kerugian RM50,000 akibat ditipu sindiket Macau Scam yang mengaku sebagai pegawai bank dan polis.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.57 petang pada Isnin mangsa 49 tahun menerima panggilan yang memaklumkan berhubung penggunaan kad kredit yang didakwa milik mangsa.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Ahmad Jawila berkata, mangsa telah membuat laporan polis sekitar jam 9.30 malam pada hari yang sama selepas menyedari ditipu oleh sindikit berkenaan.
Menurut Ahmad wanita yang bekerja sebagai Pengurus Bahagian Pentadbiran di sebuah syarikat di Kampung Patau-Patau mendakwa telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai bank.
“Dalam panggilan itu, lelaki yang mendakwa sebagai pegawai bank telah memaklumkan bahawa kad kredit atas nama mangsa mempunyai transaksi sebanyak tiga kali dengan jumlah RM15,991.
“Bagaimanapun mangsa menafikan perkara itu dan memberitahu tidak memiliki kad kredit daripada bank berkenaan, mangsa setrusnya diarahkan untuk membuat pengesahan bagi mengemas kini akaun banknya dan mangsa terus sahaja memberikan maklumat data akaun peribadinya” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Jelas Ahmad lagi, mangsa kemudian bercakap dengan seorang lagi individu lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor dari Bukit Aman yang mengaku mengendalikan kes itu.
“Mangsa kemudian merasa curiga dan terus menghubungi pihak bank untuk memeriksa akaun bank miliknya dan pihak bank mengesahkan bahawa wang miliknya sebanyak RM50,000 telah dipindah keluar” katanya.
Mangsa kemudianynya membuat laporan ke balai polis untuk tindakan selanjutnya dan kes di siasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ahmad menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan melalui panggilan telefon atau di media sosial kepada individu yang tidak dikenali sebaliknya mereka boleh membuat semakan di aplikasi Check Scammers CCID jika dihubungi nombor telefon tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa ditipu.