GIMIK…Mary (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian program.
PUTATAN : Masalah infestasi tikus di daerah ini tidak lagi boleh dianggap sebagai isu remeh kerana ia berpotensi mencetuskan krisis kesihatan awam termasuk penularan penyakit maut seperti Leptospirosis atau kencing tikus.
Menurut Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membasmi infestasi tikus tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak.
“Tahap kebersihan persekitaran, terutamanya di kawasan tumpuan awam seperti pasar dan premis makanan, perlu diperketatkan bagi memastikan rantaian penyakit bawaan tikus dan Salmonella dapat diputuskan sepenuhnya.
“Kehadiran tikus bukan sahaja menjejaskan imej kebersihan daerah, malah mengundang risiko kesihatan yang mampu membawa maut jika langkah pencegahan menyeluruh tidak diambil.
“Program hari ini adalah langkah proaktif untuk menyuntik kesedaran masyarakat mengenai pengurusan sisa pepejal yang teratur. Namun, kejayaan sebenar bergantung kepada penglibatan menyeluruh komuniti, peniaga, dan pemilik premis,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keindahan dan Kebersihan Bandar Majlis Daerah Putatan (MDP), Mary Tolong Wong ketika merasmikan program Kempen Membasmi Infestasi Tikus Daerah Putatan Tahun 2026 di Pasar Taman Jumbo, Petagas di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Masawi menyeru para peniaga agar memastikan sisa makanan diurus dengan sempurna dan menggunakan tong sampah bertutup bagi mengelakkan kawasan premis menjadi tempat pembiakan tikus.
Kempen anjuran MDP dengan kerjasama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) itu dihadiri Ahli-ahli Majlis Daerah Putatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ketua Rukun Tetangga Teluk Villa dan Taman Jumbo dan peniaga sekitar Taman Jumbo.
Dalam majlis yang sama, Theresa Ajin berjaya dinobatkan sebagai pemenang bagi Pertandingan Inovasi Cipta Perangkap Tikus, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM300 serta sijil.
Turut hadir, Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran MDP, Syadzreel Amri Azhar dan Penolong Akauntan MDP, Fadzlun Yuka./Oleh: Penerangan



