ADVERTISEMENTspot_img

SJKC Phui Ying Tenom Anjur Program Pemakanan Sihat Tingkat Kesedaran Murid

Chong, Poong dan lain-lain bersama para pelajar sekolah yang terlibat bergambar bersama dalam program itu

TENOM: Dalam usaha meningkatkan kesedaran murid mengenai kepentingan pemakanan sihat serta memupuk amalan gaya hidup sihat sejak usia muda, SJKC Phui Ying Tenom menganjurkan Program “Nestlé for Healthier Kids (N4HK)” pada 13 Mei lepas.

Program berkenaan ditaja oleh Nestlé Malaysia serta mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Pada program itu, sekolah berkenaan menerima kehadiran pakar pemakanan daripada Persatuan Pemakanan Malaysia, Chong Chun Hui, sebagai penceramah jemputan.

Beliau yang dikenali sebagai antara pakar pemakanan terawal di negara ini yang aktif mempromosikan penyediaan makanan sihat di sekolah, berkongsi pengetahuan berkaitan konsep pemakanan sihat, kepentingan nutrisi seimbang serta amalan gaya hidup sihat kepada murid-murid.

Program tersebut turut diserikan dengan sesi soal jawab dan aktiviti fizikal interaktif bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan lebih berkesan.

Murid-murid dilaporkan memberi sambutan amat menggalakkan serta aktif mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung.

Guru Besar SJKC Phui Ying Tenom, Poong Chiew Fong berkata, murid pada masa kini terdedah kepada pelbagai makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula, garam dan lemak, justeru penerapan amalan pemakanan sihat sejak kecil amat penting.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi memastikan tahap kesihatan dan perkembangan murid sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Pihak sekolah berharap murid dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh melalui program ini serta mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Nestlé Malaysia, Persatuan Pemakanan Malaysia dan Chong Chun Hui atas komitmen menjayakan program pendidikan kesihatan tersebut.

Beliau turut menghargai kerjasama Guru Besar SJKC Chi Vun Tenom, Wong Eh Chun, yang memberi cadangan serta sokongan dalam memastikan program itu berjalan lancar.

Program berkenaan turut mendapat sokongan ahli Lembaga Pengurusan Sekolah serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan perkembangan murid secara menyeluruh.

Selain itu, Nestlé Malaysia turut menaja buku nota dan bahan pembelajaran kepada murid yang hadir sebagai galakan untuk mereka berkongsi ilmu pemakanan sihat bersama keluarga di rumah.

Pihak sekolah memaklumkan akan terus melaksanakan pelbagai program bermanfaat pada masa hadapan bagi melahirkan murid yang sihat, aktif dan cemerlang dalam semua aspek.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN