Penerima sumbangan dari Kg Wak Wak bergambar kenangan bersama Rafie (depan, tengah).
KOTA KINABALU : Seramai 43 keluarga merangkumi golongan asnaf, ibu tunggal serta kumpulan B40 di sekitar Karambunai dan Rampayan menerima sumbangan ‘Kotak Kasih MADANI’ sempena Program Santuni Rakyat, di sini hari ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 25 kotak sumbangan diagihkan kepada keluarga di Kampung Wak Wak, Karambunai, manakala baki 18 kotak lagi diserahkan kepada penduduk yang memerlukan di Kampung Tobur, Rampayan.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh wakil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Rafie Jaffree dan Baslan Saini yang masing-masing menyantuni penerima di kedua-dua kampung berkenaan.
Inisiatif kemasyarakatan ini merupakan sebahagian daripada pengisian Program Satelit Khas Kenduri Rakyat MADANI yang diselaraskan oleh Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU).
Sehubungan itu, orang ramai dijemput memeriahkan acara kemuncak Program Satelit Khas Kenduri Rakyat MADANI di Padang SK Talungan, Telipok pada Sabtu ini yang akan dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Azman Sipan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Peter Tong Ah Pin dan Ketua Kampung Kg Tobur, Rampayan, Ag Samsu Pangiran Mubin./Oleh Penerangan-



