KENANGAN……..Sebahagian penduduk Kg. Doromomol merakam gambar kenangan bersama Norita (duduk depan kanan), Hadzrul (lima kiri) dan beberapa jemputan lain sempena program itu.
Oleh: Salwah Aramat (diedit oleh editorial)
RANAU: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.38 Paginatan terus mempergiat usaha memperkasa pembangunan luar bandar menerusi penganjuran Program Pembangunan Pelancongan Berasaskan Komuniti di Kampung Doromomol, di sini, baru-baru ini.
Program itu diketuai CDO N.38 Paginatan, Hadzrul Masnin, bersama Pemaju Mukim Azman Mohamad dan Pemaju Mukim Jaleha Mohd Jiman dengan kerjasama All-Party Parliamentary Group Malaysia-Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) yang diketuai Penyelaras Tempatan APPGM-SDG P.179 Ranau, Norita Yapi.
Turut menyertai program berkenaan ialah wakil Persatuan Explorasi Pelancongan Sabah dan Ranau Tourism Association, Razlee Lasiman, bagi meninjau potensi serta membincangkan hala tuju pembangunan produk pelancongan tempatan yang mampu memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.
Antara fokus utama program ialah lawatan serta sesi perbincangan mengenai pembangunan Program Pelancongan Berasaskan Komuniti (Community-Based Tourism, CBT) di Kampung Doromomol yang mengetengahkan produk pelancongan “Bird Hide Photography”, iaitu lokasi khas untuk aktiviti pemerhatian dan fotografi burung di habitat semula jadi.
Produk pelancongan itu disifatkan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai tarikan berimpak tinggi berikutan penemuan beberapa spesies burung unik yang jarang ditemui di lokasi lain, sekali gus berpotensi menjadi identiti baharu ekopelancongan di Daerah Ranau.
Selain menarik pelancong domestik dan antarabangsa, lokasi berkenaan dijangka menjadi tumpuan penyelidik, jurugambar alam semula jadi, peminat burung serta pencinta flora dan fauna yang mencari pengalaman ekopelancongan berasaskan biodiversiti.
UPPM N.38 Paginatan menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pembangunan pelancongan berasaskan komuniti sebagai pemangkin pembangunan luar bandar yang mampan, di samping mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada penduduk melalui penglibatan aktif dalam sektor pelancongan.
Usaha bersepadu antara UPPM, APPGM-SDG, agensi berkaitan serta komuniti setempat diyakini mampu memperkukuh kedudukan Kampung Doromomol sebagai destinasi ekopelancongan berasaskan alam semula jadi yang berdaya saing, selain mempromosikan khazanah biodiversiti Ranau ke peringkat nasional dan antarabangsa.



