Julita
KOTA KINABALU: Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah sedang meneliti tapak baharu bagi pembinaan Pusat Pemulihan Kebajikan di Putatan selepas lokasi yang dicadangkan sebelum ini didapati tidak sesuai kerana memerlukan kos penimbusan tanah yang tinggi.
Menterinya, Datuk Julita Majungki berkata kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) kekal komited memperkukuh penyampaian perkhidmatan kebajikan kepada rakyat, termasuk menyediakan infrastruktur yang kondusif bagi tujuan pemulihan dan perlindungan golongan sasar.
“Pejabat Kebajikan Putatan telah mengemukakan permohonan tapak baharu kepada agensi berkaitan bagi tujuan pembangunan pusat tersebut memandangkan tapak sebelum ini tidak sesuai kerana memerlukan kos penimbusan tanah yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Shah Alfie Yahya Ahmad Shah (Tanjung Keramat) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Menjawab soalan tambahan mengenai pelan tindakan interim berikutan ketiadaan fasiliti berkaitan di DUN Tanjung Keramat, Julita berkata pembinaan pusat itu belum dapat diteruskan buat masa ini.
Bagaimanapun, beliau berkata kementerian melalui JPKA terus melaksanakan pelbagai program kebajikan secara berterusan bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Untuk langkah interim, kementerian menerusi jabatan sememangnya mempunyai program-program berterusan untuk membantu rakyat. Sekiranya terdapat keperluan yang lebih spesifik, Ahli Yang Berhormat boleh datang berbincang dan mendapatkan konsultasi dengan kementerian,” katanya.



