Gambar: Profesor Madya Dr. Jurry Foo, atlet Malaysia era 90-an.
MEMBAWAKAN obor di Majlis Sukan Sekolah-sekolah Sabah (MSSS) kali ke-58 di Ranau, Sabah, mengimbau nostalgia ketika masih bergelar atlet negara. Terima kasih keapda penganjur yang sudi mengundang saya.
Kehadiran saya adalah untuk berkongsi kepada atlet muda bahawa sukan boleh membentuk keperibadian yang boleh menjadi bekalan kepada kita dalam menempuhi perjalanan masa hadapan. Memang zaman saya dan zaman kini tidak sama namun pembentukan keperibadian seseorang manusia tidak ada bezanya.
Komitmen
Menjadi seorang atlet bukan mudah, ia memerlukan komitmen yang tinggi. Harapan yang diletakkan di bahu, jika tidak dapat direalisasi, ia amat menyakitkan dan boleh menyebabkan seseorang atlet mungkin tenggelam dalam kekecewaan. Kecaman dan tohmahan juga sering diajukan kepada atlet yang sering banyak masa di padang mahupun gelanggang dan lebih banyak waktu hadir latihan intensif berbanding di bilik darjah. Ibu bapa, keluarga, jurulatih dan guru-guru adalah sistem sokongan sama ada dari aspek moral dan wang ringgit. Jika rezeki menyebelahi atlet, maka dapatlah sokongan pemimpin tempatan dan organisasi sukan.
Kadang-kala terpaksa ikat perut demi mencapai cita-cita menjadi atlet negara era-90-an. Jadi sebelum menjadi atlet, fikir dulu jika anda mampu memberi komitmen itu.
Holistik
Dulu ramai yang anggap atlet adalah pelajar terpinggir, golongan yang tiada masa depan, nakal, suka bermain dan ‘bikin jatuh pencapaian sekolah’. Namun menjadi seorang atlet mesti ada kebijaksanaan. Dalam sukan kita dilatih memikirkan strategi terbaik mengikut kemampuan kita. Atlet diajar untuk fokus. Jika atlet boleh menterjemahkan konsep ini dalam pembelajaran pasti tiada yang akan tercicir. InsyaAllah jika dapat dibudayakan dalam kehidupan sebenar sudah pasti atlet adalah golongan paling produktif.
Kepemimpinan
‘Lugu’ dalam bahasa dialek Ranau, bermaksud cekal atau tahan lasak. Itulah gelaran yang selalu diberikan kepada atlet Ranau. “Atlet tidak boleh putus asa, jatuh sekali bangkit berkali-kali”, bukan untuk menang pingat semata-mata tapi untuk mengajar kita jadi cekal menghadapi semua cabaran dalam hidup. Tanpa sedar atlet sebenarnya diterap dengan nilai kepemimpinan, di mana pada keadaan tertentu atlet harus membuat keputusan sendiri, ‘jurulatih telah membekalkan semua ilmu pengetahuan, di gelanggang, atlet membuat tindakan akhir’. Jika fasa ini dapat dilepasi atlet, InsyaAllah perjalanan dalam hidup pasti dipermudah.
Membudayakan jati diri
Nama ‘RANAU’, ‘SABAH’ dan ‘MALAYSIA’ pada baju pasukan yang disarung, cukup membakar semangat ‘patriotisme’ dan ‘nasionalisme’ dengan rasa tanggungjawab. Begitulah atlet dilatih menjadi aset negara. Semangat itu dibudayakan dan bukan sahaja difahami tapi menjadi nafas dan darah dalam jiwa seorang atlet yang sebenar. Oleh itu kepada atlet muda sekalian, ingatlah dalam perjalanan sebagai atlet belajarlah sebanyak mungkin, seraplah jiwa kental itu dalam budaya hidup anda. Jadilah atlet yang BIJAK dan manusia yang UNGGUL.
___________________________________________
[DARI TINTA Profesor Madya Dr. Jurry Foo, atlet Malaysia era 90-an.Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian; Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah]



