Jonnybone
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menetapkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada tenaga kerja tempatan yang diambil bekerja oleh syarikat pelabur baharu di negeri itu mestilah terdiri daripada rakyat Sabah, selaras dengan aspirasi Sabah First serta usaha memperluas peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Jonnybone J. Kurum berkata ketetapan itu melengkapi syarat Lesen Pengilang Persekutuan (Federal Manufacturing Licence, FML) yang ditetapkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), iaitu sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja sepenuh masa syarikat pelabur semasa fasa operasi hendaklah terdiri daripada rakyat Malaysia.
“Kerajaan negeri menetapkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah minimum tenaga kerja tempatan tersebut hendaklah terdiri daripada rakyat Sabah.
“Ketetapan ini selaras dengan aspirasi Sabah First serta komitmen kerajaan negeri untuk memastikan anak tempatan diberi keutamaan dan peluang yang lebih luas dalam sektor perindustrian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Jonnybone berkata pendekatan itu bukan sahaja memperkukuh akses pekerjaan kepada rakyat Sabah, malah menyumbang kepada pembangunan modal insan, peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan serta limpahan manfaat sosioekonomi yang lebih inklusif kepada komuniti setempat.
Beliau berkata kementeriannya turut bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sabah dan syarikat pelabur bagi melaksanakan inisiatif padanan pekerjaan berdasarkan pangkalan data pencari kerja yang disediakan agensi berkenaan.
Menurutnya, kerjasama itu turut melibatkan pelaksanaan program peningkatan kemahiran, latihan semula dan pensijilan yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam bidang yang ditawarkan oleh pelabur.
Beliau berkata kementerian akan terus meneliti pelaksanaan inisiatif local content yang bersesuaian bagi memastikan manfaat kemasukan pelaburan ke Sabah dapat dinikmati secara langsung dan berterusan oleh rakyat negeri itu.



