Selamat bertugas.. Shuib (dua dari kanan) menyerahkan watikah pelantikan Setiausaha kepada Wilfred. Turut bersama ialah Darus (kiri) dan Ag. Damit.
Oleh: Vitalis G. Bingkasan
KOTA KINABALU: Mewujudkan Persatuan peringkat daerah antara keutamaan Persatuan Boling Padang Negeri Sabah (Bowls Sabah) bagi sesi 2026-2029.
Presidenya, Haji Shuib Hashim berkata, ia adalah antara usaha memperluaskan penyertaan masyarakat negeri ini dalam sukan boling padang.
“Ini tentunya akan membantu kita melahirkan lebih ramai atlet yang seterusnya akan cuba kita gilap sehingga mampu bersaing diperingkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Kita mahu melihat pembangunan sukan ini berlaku secara menyeluruh dan tidak tertumpu di satu atau dua kawasan sahaja, “ kata Shuib.
Setakat ini katanya, Bowls Sabah mempunyai ahli di beberapa daerah seperti Kota Kinabalu, Keningau, Tenom, Sandakan, Beaufort, Papar, Tawau, Nabawan, Penampang, Putatan, Tuaran, Kota Belud dan Beluran.
“Ada ahli tetapi belum ada persatuan di peringkat daerah. Keahlian sekarang adalah secara individu. Sebab itu, sekarang kami sedang dalam proses menubuhkan persatuan di daerah-daerah,” katanya.
Beliau berkata, dengan adanya persatuan di setiap daerah akan membuka peluang yang sama bagi memajukan sukan itu sama ada melahirkan atlet, pegawai teknikal dan jurulatih berkualiti.
Sambil itu, Shuib yang juga Naib Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia telah dipilih semula sebagai Presiden Persatuan Bowls Sabah bagi sesi 2026-2029 dalam Mesyuarat Agung Tahunan awal bulan ini.
Shuib menang dengan majoriti 21 undi selepas meraih 48 undi berbanding 27 undi yang diperoleh pencabarnya, Lawrence Iging.
Jawatankuasa tertinggi lain ialah Haji Darus Nasir (Timbalan Presiden), Awang Damit Buang ; Faria Manuk (Naib Presiden), Wilfred Young (Setiausaha), Muhammad Uthman Sarimal (Penolong Setiausaha), Sylvia Olas (Bendahari) dan Nasrin Jamil (Penolong Bendahari).
Ahli Jawatankuasa pula terdiri daripada Faridah Abdullah, Hamzah Ahmad, Rujinah Ajok, Udin Bakiwoh, Amelia J. Yagot, Mohd. Azlee Iruan, Alvin Aling, Juluius Rantau dan Mohd Afendy Tan.
Semua jawatan ada pertandingan kecuali Timbalan Presiden kerana salah seorang calon menarik diri manakala jawatan Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari, Penolong Bendahari dan dua Ahli Jawatankuasa adalah secara lantikan.
Shuib berkata, mandat yang diberikan kepada barisan baru itu adalah amanah besar untuk meneruskan transformasi dan pembangunan sukan boling padang di Sabah.
“Bowls Sabah juga akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan tadbir urus persatuan, memperluaskan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan sektor korporat serta memperkasakan program pembangunan akar umbi sebagai persediaan menghadapi temasya utama seperti Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan Sabah (SAGA) dan kejohanan kebangsaan, “ katanya



