ADVERTISEMENTspot_img

UPKO perlu gunakan logo PH dalam PRN akan datang – AMK Keadilan

Eldridge Laurence Timis



PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) perlu menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang memandangkan terdapatnya kelemahan dalam penggunaan logo parti tersebut.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Penampang merangkap Naib Ketua AMK Sabah Eldridge Laurence Timis berpandangan bahawa isu ini perlu diperjelaskan agar tidak timbul kekeliruan di kalangan ahli mahupun pengundi.


“Rekod PRN Lepas Membuktikan Kelemahan Logo UPKO. Dalam PRN Sabah yang lepas, UPKO bertanding di 12 kerusi namun hanya berjaya memenangi satu kerusi sahaja, iaitu Kadamaian,” katanya.


Menurut beliau, pada ketika itu calon-calon menggunakan logo UPKO, dan keputusan jelas menunjukkan bahawa logo tersebut gagal meyakinkan majoriti pengundi.


“Sebagai respons kepada kenyataan yang dilaporkan dalam akhbar, di mana Setiausaha UPKO Bahagian Penampang Bryan Matasing, menyarankan penggunaan logo parti UPKO bagi mengelak kekeliruan, kami ingin memberikan jawapan yang jelas dan berasaskan fakta.


“Walaupun kami menghormati pandangan Bryan, namun hujah bahawa logo UPKO dapat mengelakkan kekeliruan ternyata bercanggah dengan fakta dan pengalaman pilihan raya lepas,” katanya.


Eldridge berkata, fakta prestasi logo UPKO yang tidak dapat dinafikan berdasarkan rekod PRN Lepas berbicara sendiri.


“Tamparuli kalah dengan majoriti besar, Kiulu tewas kepada parti lawan, Karambunai gagal dengan mengecewakan, sementara tujuh kerusi lain semua mengalami kekalahan.


“Persoalan Kritikal yang perlu dijawab adalah, sekiranya benar logo UPKO dapat mengelakkan kekeliruan, mengapa 91.7 peratus daripada kerusi yang ditandingi UPKO tetap ditolak pengundi?
“Realitinya, penggunaan logo UPKO tidak membawa kelebihan malah menambah risiko kekeliruan dan kehilangan keyakinan rakyat,” katanya.


Tambah beliau, konsensus yang telah diputuskan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan ialah semua parti komponen akan menggunakan logo rasmi PH dalam PRN. Ini bermakna tidak ada pengecualian untuk mana-mana parti komponen termasuk UPKO.


Eldridge berkata, logo PH adalah simbol tunggal yang membawa mesej penyatuan gabungan, dan menjadi lambang kesepakatan yang kukuh kepada rakyat.


Di samping itu, katanya, oenggunaan lebih daripada satu logo akan menjejaskan mesej kesatuan ini dan berpotensi mengelirukan pengundi, khususnya di kawasan luar bandar.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH telah berbesar hati menerima UPKO sebagai komponen dalam keluarga besar PH.


“Oleh itu, seharusnya wujud semangat kekeluargaan sebagai rakyat Malaysia yang saling menghormati tanpa mengira agama dan bangsa, dengan menjunjung keputusan konsensus yang telah dicapai bersama.


“Semua parti komponen wajar berdisiplin serta menghormati keputusan konsensus yang dibuat secara kolektif. Tindakan mengingkari konsensus hanya akan melemahkan gabungan dan memberi ruang kepada pihak lawan,” katanya.


Menurut beliau lagi, Cabang Penampang menegaskan bahawa ia akan berdiri teguh di belakang keputusan Majlis Presiden PH berhubung konsensus logo, dan menyeru semua rakan komponen agar bersama-sama menjunjung keputusan ini demi memastikan kemenangan PH di PRN nanti.


“Cabang Penampang menegaskan sekali lagi bahawa logo Pakatan Harapan mesti menjadi satu-satunya logo rasmi dalam PRN akan datang. Inilah simbol sebenar kekuatan dan kesatuan gabungan,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN