TERBAIK……..Jusnah (dua kanan) bersama rakan-rakannya memperlihatkan pelbagai produk tempatan di hadapan khemah jualannya.
RANAU: Minat mendalam terhadap seni warisan budaya tempatan mendorong seorang wanita dari Kampung Bitoon di sini untuk terus aktif menghasilkan kraftangan tradisional sehingga mampu menjadikannya sebagai sumber pendapatan stabil sejak lebih sedekad lalu.
Jusnah Jinos, 47, kini dikenali sebagai antara usahawan komuniti yang gigih memperkasakan industri kraftangan tempatan menerusi pelbagai produk berasaskan budaya tradisional masyarakat Sabah.
Beliau mula berkecimpung dalam bidang tersebut bersama komuniti setempat kira-kira 10 tahun lalu dan sejak itu berjaya meraih beberapa pengiktirafan serta anugerah berkaitan bidang kraftangan.
Menurut Jusnah, minat terhadap seni tradisional dan keunikan budaya masyarakat tempatan menjadi pendorong utama untuk terus menghasilkan produk kreatif yang mendapat sambutan daripada pelanggan tempatan serta pelancong.
“Antara produk yang saya hasilkan ialah dalai, aksesori manik, selendang, baju lapoi dan pinakang yang diperbuat daripada kulit kayu. Setiap produk mempunyai identiti budaya tersendiri dan nilai estetika yang unik,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, permintaan terhadap hasil kraftangan tradisional sentiasa menggalakkan terutama ketika musim perayaan, program kebudayaan dan pameran usahawan.
Katanya, produk berasaskan manik dan selendang antara yang paling mendapat sambutan kerana rekaannya yang menarik selain sesuai dijadikan cenderamata.
Hasil usaha berterusan serta sokongan komuniti setempat, Jusnah kini mampu memperoleh pendapatan melebihi RM1,000 sebulan menerusi penjualan kraftangan.
Beliau berkata, pendapatan tersebut sedikit sebanyak membantu meningkatkan taraf hidup keluarganya selain memberi motivasi untuk terus mengembangkan perusahaan kecil yang diusahakan.
Selain menghasilkan produk sendiri, Jusnah turut aktif berkongsi kemahiran bersama golongan muda dan wanita di kampungnya bagi memastikan seni kraftangan tradisional terus diwarisi generasi akan datang.
“Saya berharap lebih ramai generasi muda berminat mempelajari seni kraftangan tradisional supaya warisan budaya kita tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Menurutnya, antara cabaran utama dalam bidang itu ialah mendapatkan bahan mentah tertentu selain memastikan produk yang dihasilkan sentiasa memenuhi citarasa pasaran semasa.
Bagaimanapun, beliau percaya kreativiti, kesungguhan dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak mampu membantu usahawan kraftangan tempatan terus bertahan dan berkembang.
Jusnah berharap pihak berkaitan dapat memperluaskan lagi sokongan kepada usahawan kraftangan luar bandar menerusi latihan, promosi dan peluang pemasaran yang lebih meluas.
Beliau yakin produk tradisional tempatan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi sekali gus memartabatkan warisan budaya Sabah.



