Supt. Sammy Newton
PENAMPANG: Polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing dipercayai terlibat dalam kes cubaan membunuh seorang remaja perempuan yang ditemui berlumuran darah di sebuah rumah di Kampung Tuntuluk, Nosoob, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang kira-kira jam 5.50 petang di kawasan semak tepi jalan Pekan Kinarut Lama, Papar hasil maklumat risikan.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri manakala ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
“Dalam kejadian kira-kira tengah hari pada Khamis, polis menerima laporan berkaitan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di dalam tandas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tuntuluk.
“Mangsa yang bukan warganegara ditemukan tidak sedarkan diri dengan kecederaan serius di bahagian leher sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak buahnya, sementara kakak iparnya keluar bekerja.
Katanya, suspek dipercayai datang ke rumah berkenaan untuk menuntut baki hutang kerja membaiki paip rumah daripada kakak ipar mangsa.
“Ketika kejadian, mangsa sedang memegang sebilah pisau kerana menyiapkan masakan di dapur. Suspek mendakwa mangsa mengeluarkan kata-kata kasar sehingga menyebabkan dia berang lalu merampas pisau daripada tangan mangsa sebelum mengelar leher mangsa.
“Suspek turut menolak mangsa ke dinding tandas sehingga menyebabkan kecederaan di kepala dan leher sebelum melarikan diri,” katanya.
Sammy berkata, pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa berada dalam keadaan stabil namun mengalami luka kelar di leher dan luka tetakan di bahagian kiri kepala.
Beliau berkata, pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Sabah bersama pegawai penyiasat turut menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita palsu yang boleh mengganggu siasatan polis dan menimbulkan kegusaran awam.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang, ASP Hairie Awang Akub di talian 016-803 2849.



