ADVERTISEMENTspot_img

ENAM LELAKI DITAHAN, DADAH BERNILAI RM480 DIRAMPAS DALAM OPS TAPIS DI PENAMPANG

DITAHAN… Antara suspek yang ditahan

PENAMPANG: Enam lelaki tempatan ditahan manakala pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM480 dirampas dalam Operasi Tapis yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan kerjasama BSJND IPD Kota Kinabalu di beberapa lokasi sekitar daerah ini, malam tadi hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata operasi bersepadu itu dijalankan di sebuah kafe, kawasan sekitar pusat hiburan di Damas 118 Plaza, Kepayan Point serta sebuah unit kondominium di Nosoob.

Beliau berkata operasi berkenaan berjaya menahan enam lelaki berusia antara 27 hingga 40 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pemilikan dadah.

“Hasil pemeriksaan dan siasatan polis membawa kepada rampasan cecair disyaki mengandungi dadah jenis MDMA/psilocybin berjumlah 20.5 mililiter dengan anggaran nilai RM360, selain ganja seberat 5.41 gram bernilai kira-kira RM120.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam operasi berkenaan dianggarkan bernilai RM480,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek dipercayai bertindak sebagai pembekal kepada beberapa individu lain yang turut ditahan dalam operasi tersebut.

Beliau berkata berdasarkan maklumat hasil tangkapan awal, polis kemudian menahan seorang lagi suspek bersama sejumlah kecil cecair disyaki dadah sebelum melancarkan serbuan susulan ke sebuah kondominium di Nosoob yang membawa kepada penemuan ganja dan penahanan dua lagi suspek.

“Ujian saringan air kencing mendapati lima daripada enam suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), manakala seorang lagi didapati negatif.

“Semakan rekod lampau turut mendapati beberapa suspek mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dibaca bersama Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya, Seksyen 6 akta sama kerana memiliki ganja serta Seksyen 15(1)(a) akta berkenaan kerana menggunakan dadah berbahaya.

Sementara itu, beliau berkata Polis Daerah Penampang akan terus memperhebat operasi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah, khususnya di pusat hiburan, premis perniagaan, kafe serta lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan penagih dan pengedar dadah.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dadah demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN