Infografik karnival
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menganjurkan Karnival Kokurikulum Berkredit (KARKUMS) Semester 2 Sesi 2025/2026 pada 27 Jun ini di Dewan Canselor UMS sebagai platform memperkukuh pembangunan mahasiswa secara holistik menerusi penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.
Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS, Profesor Madya Dr Jurry Foo berkata karnival yang berlangsung dari 7.30 pagi hingga 5 petang itu menghimpunkan pelbagai pengisian menarik berteraskan pembangunan sahsiah, bakat dan kemahiran insaniah mahasiswa.
Beliau berkata penganjuran karnival berkenaan juga menjadi wadah penting dalam membentuk mahasiswa seimbang melalui penerapan nilai kepimpinan, pemikiran kritis, semangat kerjasama dan daya saing, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan modal insan holistik.
“Bertemakan ‘Warna-warni Borneo’, karnival ini mengetengahkan keunikan kepelbagaian etnik, budaya dan warisan Borneo, di samping memupuk perpaduan, toleransi serta rasa hormat terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan warga universiti.
“Tema ini turut mencerminkan aspirasi slogan UMS, ‘The BRAIN of BORNEO’, yang menekankan pembangunan mahasiswa cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah kreatif, berbudaya dan berdaya saing di peringkat global,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin, hari ini.
Menurut beliau, antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang karnival ialah Pameran Banting Kursus Mengikut Komponen, KARKUMS Got Talent, Pertandingan Duta Warna-warni Borneo, pertandingan melukis batik, arm wrestling serta persembahan unit beruniform.
Katanya, pelbagai aktiviti itu dirangka bagi mencungkil bakat mahasiswa, di samping memperkukuh kemahiran insaniah serta membina jati diri pelajar melalui pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah.
Beliau berkata karnival yang turut dibuka kepada orang awam itu diyakini mampu menjadi medium berkesan dalam memupuk perpaduan, memperkasa potensi mahasiswa dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menyumbang ke arah kecemerlangan universiti serta pembangunan masyarakat.
Karnival berkenaan dijangka menjadi tumpuan warga kampus dan masyarakat setempat dengan pelbagai pameran, persembahan budaya serta aktiviti interaktif yang menampilkan warna-warni warisan Borneo dan bakat mahasiswa UMS.



