ADVERTISEMENTspot_img

Muaythai Sabah terima suntikan moral dana RM50,000 dari CPS

Nazri (tengah) menerima replika cek RM50, 000 dari CPS yang disampaikan Meredith dan Dymna. Turut bersama ialah Kartini, Christle dan anggota skuad SUKMA Muaythai Sabah

Oleh: Vitalis G. Bingkasan

KOTA KINABALU :    Persiapan skuad Muaythai Sabah ke Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026  mendapat suntikan moral dengan sumbangan dana RM50,000 daripada pusat membeli belah Center Point Sabah (CPS ).

Presiden Persatuan Muaythai Sabah, Ir Haji Nazri Ab Razak menerima sumbangan itu yang disampaikan  Eksekutif Perhubungan Awam CPS, Meredith H Madani dan Ketua Seksyen Acara dan Seni CPS, Dymna Micheal  dalam satu majlis khas di sini baru-baru ini. 

Turut bersama dalam majlis itu ialah pegawai-pegawai dari Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah iaitu Kartina Dumin dan Christle Easter  Michael serta warga Muaythai Sabah termasuk anggota skuad SUKMA-nya.

Sumbangan yang disalurkan menerusi CPCares Initiative 2026 itu adalah  komitmen berterusan pusat membeli belah berkenaan terhadap pembangunan masyarakat, pemerkasaan belia dan kecemerlangan sukan.

Ia juga sebagai memenuhi tanggungjawab sosial serta sempena persiapan merayakan ulang tahun ke-36 CPS pada Ogos 2026.

Sambil berterima kasih kepada CPS, Nazri berkata, sumbangan itu akan dimanfaatkan bagi program persiapan skuad Muaythai Sabah menghadapi SUKMA 2026 Selangor.

“Bagi pihak Persatuan Muaythai Sabah, para atlet, jurulatih, pegawai serta seluruh komuniti Muaythai, saya ingin merakamkan penghargaan  kepada  CPS atas tajaan  ini. Sokongan ini hadir pada masa yang amat penting ketika atlet kami sedang giat membuat persiapan menghadapi SUKMA Selangor 2026 di samping mewakili Sabah dan Malaysia di pentas antarabangsa.

“Tajaan ini lebih daripada bantuan kewangan. Ia adalah pelaburan untuk masa depan sukan Sabah dan bukti komitmen CPS terhadap pembangunan belia serta kecemerlangan sukan. Sokongan sebegini membolehkan atlet kami memberi tumpuan penuh kepada latihan, persiapan dan prestasi demi mengharumkan nama Sabah”, kata Nazri.

Menurutnya, selain persiapan SUKMA, beberapa Atlet Muaythai Sabah juga kini membawa cabaran Malaysia pada saingan IFMA World Championships 2026 yang Sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

Nazri berkata, Muaythai Sabah akan terus berusaha memartabatkan Sabah dan Malaysia melalui sukan itu di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata , keupayaan atlet Muaythai Sabah bukan sahaja membawa cabaran negara tetapi menang di peringkat antarabangsa sebelum ini adalah bukti perkembangan sihat kemajuan sukan Muaythai di Sabah.

“Untuk SUKMA Selangor 2026, Muaythai Sabah akan cuba sedaya upaya memberikan yang terbaik  menjadi antara penyumbang utama pingat buat Sabah”, katanya.

Beliau berkata, kejayaan pasukan  juga adalah hasil sokongan badan korporat seperti yang dilakukan CPS.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap lebih ramai badan korporat mencontohi CPS membantu persatuan sukan.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN