Ramzah (kanan) bersama pegawai Sabah Parks, mendengar taklimat dan perkongsian
KOTA KINABALU, 21 SEPTEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima geran bernilai RM5 juta daripada Yayasan Sabah baru-baru ini bagi membangunkan produk cendawan dan halia.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, ia sebagai inisiatif projek strategik bagi sektor sosioekonomi dan berpotensi mengubah secara signifikan landskap bio-agro di Sabah.
āMenurut Grand View Research, saiz pasaran global cendawan ialah US$46.1 bilion (2020), dengan pertumbuhan tahunan 9.5 peratus hingga tahun 2028.
āImport cendawan Malaysia sendiri pun mencecah RM18 juta setahun berdasarkan data pada 2012. Maksudnya, ini satu industri yang maha gadang.
āMasalahnya, belum ada inisiatif yang dipacu penyelidikan dengan benar-benar tersusun; untuk membangunkan sektor cendawan berasaskan spesies lokal, yang unik dan rintang iklim setempat. Inilah jurang yang UMS cuba tangani,ā katanya.
Dr. Jaya Seelan Sathiya bersama pasukan penyelidik cendawan.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran Facebook pada Ahad selepas membuat lawatan terhadap sekumpulan penyelidik UMS yang melakukan eksplorasi cendawan di Taman Bukit Tawau, sebuah hutan rekreasi di bawah jagaan Sabah Parks.
Dalam pada itu, Ramzah turut memaklumkan bahawa sehingga hari ini, pasukan penyelidikan UMS yang diketuai Dr. Jaya Seelan Sathiya berjaya mengenal pasti kira-kira 1,250 spesies cendawan liar Borneo.
ā45 peratus daripada cendawan itu mempunyai nilai farmaseutikal, yang mana 18 spesies telah pun selesai kajian fundamental.
ā25 peratus ialah kategori edible (boleh dimakan), lima spesies sedang dalam peringkat ādomesticationā untuk diterjemah kepada industri agro.
āIni termasuk āshiitake Sabahā, spesies asli negeri ini yang mempunyai potensi premium setaraf dengan shiitake Jepun,ā katanya.
Ramzah berkata, selain fungsi perubatan dan makanan, ada juga cendawan yang menawarkan pelbagai kepentingan lain.
Cendawan Zombie
āMisalnya, 18 spesies cendawan bercahaya, yang sedang diinovasi kepada konsep āglowing gardenā yang bakal menjadi tarikan pelancongan eksotik.
āAda juga ācendawan zombieā yang sporanya boleh menembusi haiwan kecil seperti serangga. Kemudian ia tumbuh berakar dari dalam badan, dan membunuh perumah tersebut.
Mengulas lanjut, Ramzah turut menjelaskan terdapat cendawan yang menghasilkan bahan pewarna organik, untuk kegunaan atas kertas dan tekstil.
Katanya, ia merupakan satu alternatif mesra alam, berbanding pewarna yang disintetik secara kimia.
āNamun, kajian sains fundamental bagi aspek ini masih jauh sebelum sampai ke tahap aplikasi teknologi.
āSaya paling teruja bila diberitahu tentang penemuan tiga sampel yang berpotensi jadi spesies baru.
āIaitu dari kumpulan – Ophiocordyceps (zombie fungi), Polyporus (boleh makan) dan Gasteroid Lactarius (menghasilkan latex). Ini perlukan analisis molekular DNA, sebelum dapat dimuktamadkan statusnya,ā jelasnya.