34 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

UMS Rancang Bangunkan Program Pascasiswazah Perubatan Anestesia, Penuhi Keperluan Pakar Tempatan

Dr. Zalina Abdul Razak (tengah) menerima cenderamata daripada D Kamarudin

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) sedang dalam proses membangunkan Program Kepakaran Pascasiswazah Anestesiologi dan Rawatan Rapi dan beberapa program klinikal yang lain.

Ia selaras dengan pewujudan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), di samping keperluan perkhidmatan kepakaran klinikal di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sabah.

Menurut Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi FPSK, Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, pembangunan program-program kepakaran itu dijangka akan merancakkan lagi ekosistem akademik klinikal perubatan di negeri ini dan serantau.

“Keperluan penghasilan pakar-pakar tempatan dalam bidang-bidang ini sangat kritikal. Ia adalah usaha unutk membangunkan modal insan yang akan berbakti kepada negeri Sabah dan seterusnya memberi perkhidmatan kepakaran yang menyeluruh di fasiliti-fasiliti kesihatan dan perubatan di rantau ini,” katanya.

Terbaharu, FPSK telah mengadakan program perkongsian bersama Ketua Perkhidmatan Anestesia dan Rawatan Rapi Malaysia, Dr. Zalina Abdul Razak, bagi membincangkan potensi dan peluang kolaborasi di antara UMS dan KKM.

“Program ini diharap dapat memberi hala tuju yang lebih bersepadu dalam kerjasama antara UMS, agensi berkaitan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan KKM untuk misi menghasilkan pakar-pakar bagi memenuhi keperluan serantau.

“Dengan berpindahnya ibu negara Indonesia ke Pulau Borneo, dijangka mengakibatkan pertambahan bilangan penduduk serantau. Ini akan memerlukan ekosistem kesihatan yang lebih mampan dan bilangan pakar yang lebih ramai,” tambah D Kamarudin.

Program selama tiga hari itu merangkumi ceramah, perbincangan meja bulat berkaitan peluang kerjasama antara UMS dan KKM serta mesyuarat Board of Studies untuk Program Kepakaran Pascasiswazah Anestesiologi dan Rawatan Rapi yang sedang dibangunkan di UMS.

Selain itu juga, program tersebut turut membincangkan peluang kerjasama antara UMS dan Hospital Angkatan Tentera Malaysia, Wilayah Kota Kinabalu (HATWKK) untuk menyumbang kepakaran mereka sebagai salah satu cadangan modul Program Pascasiswazah Anestesia dan Rawatan Rapi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN