30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

UMS adakan misi bantuan pasca banjir di SK Panaitan Kota Marudu

Pembersihan kawasan sekolah sedang dijalankan

KOTA MARUDU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan misi bantuan pasca banjir di Sekolah Kebangsaan Panaitan Kota Marudu pada Ahad.

Misi yang dinamakan Misi Bantuan Pasca Banjir Sukarelawan Siaga Bencana diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya. Dr. Raman Noordin.

Menurutnya, program itu merupakan inisiatif UMS dalam melaksanakan khidmat sosial (CSR) bagi membantu kawasan yang telah terjejas akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.

“Melalui program ini, ia juga sekali gus melatih dan meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa terutama sekali dalam aktiviti kemasyarakatan yang merupakan salah satu teras dalam pelaksanaan aktiviti pelajar.

“Seramai 30 sukarelawan pelajar, 15 kakitangan dan 15 petugas kesihatan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) turut bersama dalam menjayakan program ini,” katanya.

Para penduduk berhampiran membuat pemeriksaan kesihatan yang diadakan HUMS.

Program sehari itu merupakan anjuran Kelab Sukarelawan Siswa (KESUWA) UMS dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), HUMS, Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa), dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Menurut Raman, antara pengisian program termasuklah membersihkan kawasan sekitar sekolah yang terjejas banjir, selain sumbangan kelengkapan kesihatan kepada masyarakat.

“Bagi tujuan pembersihan, sukarelawan pelajar telah dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut tiga zon yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.

“Pengagihan sumbangan kit kesihatan menyaksikan sebanyak 150 beg telah diagihkan kepada penduduk kawasan berhampiran disamping pemeriksaan kesihatan seterusnya pemberian ubat oleh pihak HUMS,” jelasnya.

Sementara itu, Guru Besar SK. Panaitan, Kamisa Gunting merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kehadiran pihak UMS mengadakan CSR di sekolah itu.

“Terima kasih kerana memilih sekolah ini dalam penganjuran program yang sangat bermanfaat kepada seluruh warga sekolah dan penduduk setempat.

“Kami berharap dapat bekerjasama lagi dalam program-program lain pada masa akan datang seperti program motivasi untuk para pelajar sekolah,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Majlis Timbalan Dekan (MTD), Dr. Habibie Hj. Ibrahim; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Dr. Arif Kamisan Pusiran; Timbalan Pengarah (Pengurusan dan Operasi) HUMS, Samsuidin Nurdin, HUMS; dan Ketua Jurulatih SISPA Kapt. Zulfaituri Ramlee.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN