sepak takraw Sabah bersama Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) Datu Nizam Abu Bakar Titingan bersama SUT KBSK, merangkap Chef De Misson kontinjen, Datuk Mansur Asun.
OLEH: VITALIS G. BINGKASAN
SUBANG JAYA: Tuaian 30 pingat emas, 27 perak dan 36 gangsa di SUKMA XXII Selangor 2026 yang berakhir pada Isnin adalah antara pencapaian terbaik Sabah dalam sukan dwi tahunan itu.
Pencapaian terbaik Sabah pada sukan dwi tahunan itu adalah pada SUKMA Perak 2018 dengan 33 emas, 27 perak dan 46 gangsa manakala di SUKMA Kuala Lumpur 2022 pula ialah 30 emas, 29 perak dan 39 gangsa.
Pada SUKMA kali ini, Sabah menghantar kontinjen dengan kekuatan 744 atlet (385 lelaki dan 359 wanita) di samping 148 jurulatih dan 51 pengurus pasukan, mengambil bahagian dalam 36 dari 37 jenis sukan yang dipertandingkan.
Kontinjen Sabah itu adalah antara lebih 10,000 atlet dari 15 kontinjen yang bertanding pada SUKMA XXII Selangor 2026 yang menawarkan 468 pingat emas.
Sabah gagal mencapai sasaran 40 pingat emas tetapi pencapaiannya kali ini bukan sahaja antara yang terbaik dalam sejarah penyertaan di SUKMA tetapi juga lebih baik berbanding pencapaian 29 pingat emas di samping 36 perak dan 55 gangsa di SUKMA Sarawak dua tahun lalu.
Skuad sepak takraw, olahraga, petanque dan karate antara penyumbang utama kutipan pingat emas Sabah.
Sabah kekalkan statusnya sebagai pasukan terbaik sepak takraw apabila meraih lima pingat emas dan satu perak daripada lapan pingat emas yang ditawarkan.
Empat dari pingat emas itu diungguli skuad wanita yang mengekalkan menyapu bersih semua acara wanita iaitu berpasukan, regu dua pemain, regu tiga pemain dan regu empat pemain manakala satu lagi menangi regu dua pemain lelaki.
Pencabar terdekat, Pulau Pinang hanya mampu menang dua emas manakala satu emas lagi milik pasukan tuan rumah Selangor.
Sabah juga mengungguli sukan petanque dengan empat emas dan satu perak dari tujuh emas yang ditawarkan. Tiga lagi pingat emas dikongsi Sarawak, Melaka dan Selangor.
Skuad olahraga juga menyumbang empat emas, di samping tujuh perak dan empat gangsa daripada 47 pingat emas yang ditawarkan. Sabah di kedudukan kelima terbaik dalam olahraga yang dikuasai Johor dengan sembilan emas, lapan perak dan lima gangsa (9e, 8p, 5g) diikuti Terengganu (7e, 3p, 3g), Wilayah Persekutuan (6e, 1p, 3g) dan Kelantan (5e, 2p).
Tiga pingat emas di samping tiga perak dan tiga gangsa daripada 15 pingat emas yang ditawarkan pula cukup untuk meletakkan skuad karate Sabah yang terbaik mengatasi empat pencabar terdekat iaitu Johor (2e, 2p, 3g), Perak (2e, 1p, 5g), Selangor (2e, 1p, 3g) dan Terengganu (2e, 1p,1g).
Pencapaian sukan lain menyaksikan skuad pencak silat menyumbangkan dua emas, dua perak dan tiga gangsa, gimnastik artistik (2e, 1p, 1g), memanah (2e, 1p, 1g),
pelayaran (2e, 3g), wushu (2e, 3g), menembak (2e), akuatik renang (1e,2g), boling padang (1e), tinju (4p, 2g), muaythai (3p, 3g), angkat berat (1p, 2g), bola sepak wanita (1p), E-Sport (1p), golf (1p), akuatik terjun (2g), lawan pedang (2g), judo (2g), berbasikal (1g), ragbi wanita (1g) dan tenpin bowling (1g).
Sambil itu, atlet gimnastik artistik lelaki Marvell Vincent Voo penyumbang pingat emas individu terbanyak iaitu dua emas menerusi acara Senam Lantai dan Palang Sejajar. Dia turut menambah satu perak dalam acara Kuda Pelana dan membantu pasukan meraih gangsa berpasukan.
SUKMA XXII Selangor 2026 yangd ditutup secara rasmi pada malam Isnin menyaksikan pasukan tuan rumah Selangor muncul juara keseluruhan dengan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, meninggalkan jauh pesaing terdekat, Wilayah Persekutuan yang hanya mengutip 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa.
Sabah kekal di tangga kelapan manakala pasukan lain di atasnya ialah Terengganu (41e, 44p, 35g) diikuti Sarawak (40e, 40p, 62g), Pulau Pinang (38e, 54p, 59g), Johor (36e, 52p, 43g) dan Perak (31e, 33p, 50g).
Pasukan di bawah Sabah pula ialah Pahang (28e, 19p, 34g), Melaka (19e, 12p, 15g), Perlis (17e, 7p, 17g), Kedah (14e, 22p, 45g), Kelantan (14e, 5p, 16g), Negeri Sembilan (7e, 11p, 28g) dan Brunei (0e, 4p, 6g).



