Rafieā¦.Naib Ketua Armada Bersatu Sabah.
KENINGAU: Orang ramai diseru untuk menunjukkan semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan melawan pandemik Covid-19.
Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) BERSATU Sabah, Rafie Robert berkata, jika dahulu rakyat Malaysia menentang penjajahan untuk membebaskan negara Malaysia daripada ancaman yang dilakukan oleh para penjajah.
“Kini, negara kita menghadapi ancaman sekali lagi daripada pandemik Covid-19 ini yang mampu melumpuhkan negara daripada pelbagai aspek dan sudah tiba masanya masyarakat berjuang membebaskan negara Malaysia daripada ancaman Covid-19 ini.
“Strategi untuk menghapuskan ancaman ini telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) sama ada yang sudah dikeluarkan mahupun yang disampaikan dari semasa ke semasa.
“Oleh itu, strategi ini harus diikuti oleh setiap lapisan masyarakat agar kita mampu bebas daripada pandemik Covid-19 ini.
“Untuk meningkatkan ketahanan badan kita daripada penyakit ini juga, kita diingatkan untuk tidak lupa melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, walaupun Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak lagi disambut seperti sebelum ini iaitu berkumpul secara beramai-ramai bagi menyambutnya.
“Kita boleh menyertainya dengan mengibarkan jalur gemilang dan bendera Sabah di rumah, tempat kerja dan di kenderaan masing-masing sebagai tanda kita cintakan negara dan semangat patriotik kita,” jelasnya.
Tambahnya, sempena sambutan itu juga, terdapat banyak pengisian dan pertandingan yang diadakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan melalui atas talian dan orang ramai digalakkan untuk menyertainya.