Datuk Jonathan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersedia mempertimbangkan cadangan mewujudkan Zon Khas Pelaburan Pelancongan (Special Tourism Investment Zone – STIZ) di kawasan Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu, tertakluk kepada permintaan pasaran yang kukuh, minat pelabur serta persetujuan Kerajaan Negeri Sabah.
Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya kepada Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15.
Datuk Jonathan dalam soalannya meminta kementerian menyatakan sama ada kerajaan akan mempertimbangkan pelaksanaan STIZ di kawasan Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai UNESCO Triple Crown, iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO (Taman Kinabalu), Rizab Biosfera UNESCO (Banjaran Crocker) dan UNESCO Global Geopark (Taman Kinabalu).
Dalam jawapannya, kementerian menjelaskan bahawa cadangan STIZ diperkenalkan sebagai satu inisiatif untuk menggalakkan pelaburan bernilai tinggi oleh sektor swasta dalam membangunkan kawasan pelancongan yang berpotensi tinggi, di samping mempelbagaikan produk pelancongan yang unik, inovatif dan berdaya saing.
Menurut kementerian, STIZ boleh dipertimbangkan di mana-mana lokasi di seluruh negara, khususnya bagi projek pelancongan bersepadu yang mempunyai potensi besar untuk menarik pelaburan dan meningkatkan daya saing industri pelancongan negara.
Walau bagaimanapun, kementerian menegaskan bahawa setiap cadangan pelaksanaan STIZ perlu memenuhi beberapa syarat utama, termasuk wujudnya permintaan pasaran yang kukuh serta minat pelabur terhadap projek yang dicadangkan.
Selain itu, setiap cadangan juga perlu dibincangkan dan mendapat persetujuan Kerajaan Negeri terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada MOTAC untuk pertimbangan lanjut.
Cadangan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Ranau itu dilihat selaras dengan potensi besar kawasan pedalaman utara Sabah yang memiliki pengiktirafan antarabangsa menerusi status UNESCO Triple Crown, sekali gus membuka peluang untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi, geopelancongan, biodiversiti dan ekopelancongan.
Sekiranya direalisasikan pada masa hadapan, pewujudan STIZ di kawasan Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu berpotensi merangsang pembangunan ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu, memperkukuh industri pelancongan mampan serta meningkatkan kedudukan Sabah sebagai antara destinasi pelancongan utama di rantau ini.



