ADVERTISEMENTspot_img

GRS KOMITED BAWA PEMBANGUNAN UNTUK RAKYAT : VICTOR

KENINGAU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus komited membawa pembangunan kepada seluruh rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Sokongan yang padu daripada rakyat akan mampu memberikan kestabilan politik yang turut menjamin kemakmuran negeri.

Ketua Bahagian Parti PGRS Tambunan, Dato’ Victor Peter Paut berkata apabila politik negeri stabil, pembangunan dapat diteruskan, ekonomi dapat diperkukuhkan dan kebajikan rakyat akan dapat diberi perhatian yang sewajarnya.

Victor yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd itu, turut menyeru agar seluruh warga Kampung Sunsuron supaya terus berdiri teguh bersama Kerajaan GRS.

“Kita tidak mahu politik yang hanya memecah-belahkan masyarakat.

Kita mahu politik yang menyatukan rakyat, memperjuangkan kepentingan kampung, membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda serta memastikan pembangunan sampai ke akar umbi,” katanya ketika berucap merasmikan Program Gotong Royong Perdana di Kg Sunsuron, Tambunan di sini pada Sabtu.

Menurut Victor, mempertahankan perpaduan yang telah sekian lama terbina selama ini ,perlu terus diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat dan Negeri.

“Jangan mudah terpengaruh dengan fitnah, hasutan atau berita yang tidak benar.

Sebaliknya, nilailah sesuatu berdasarkan fakta, hasil kerja dan pencapaian yang telah di bawa kepada rakyat.

Saya yakin, dengan sokongan padu seluruh rakyat Tambunan, khususnya penduduk Kampung Sunsuron, kita mampu memastikan agenda pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan GRS akan terus dinikmati oleh generasi hari ini dan generasi akan datang,” jelasnya lagi.

Apa yang paling penting jelas Victor lagi, ialah setiap orang perlu mempunyai semangat untuk terus bergerak ke hadapan dan tidak sesekali menganggap kampung kecil sehingga tidak mampu membangun maju.

Banyak kampung di Sabah telah berubah hasil kesungguhan penduduknya sendiri, katanya.

“Perubahan bermula daripada diri kita. Bermula dengan menjaga kebersihan rumah.

Menjaga jalan kampung, menjaga sungai, menghormati jiran dan tidak lupa untuk membimbing anak-anak supaya rajin belajar selain mengelakkan gejala sosial yang tidak sihat serta sentiasa menyokong usaha-usaha pembangunan yang membawa manfaat kepada masyarakat setempat,” ujarnya lagi.

Menurut Victor, aktiviti gotong-royong bukan sekadar aktiviti membersihkan kawasan kampung tetapi ia lebih daripada itu yakni, gotong-royong adalah lambang kerjasama perpaduan, lambang kasih sayang sesama jiran dan lambang kekuatan sesebuah masyarakat.

“Kampung yang bersih adalah cerminan masyarakatnya yang berdisiplin.

Kampung yang indah mencerminkan penduduknya yang bertanggungjawab dan kampung yang bersatu padu akan sentiasa dihormati serta mampu menghadapi apa juga cabaran yang mendatang.

Saya yakin dan percaya bahawa Kampung Sunsuron akan menjadi sebuah kampung contoh yang bersih, maju, aman dan disegani,” katanya lagi.

Yang hadir sama ialah ADDO Tambunan, Daniel Dilliam, Pengerusi Program Gotong-Royong Perdana Rider Gutang, Pemaju Mukim Sunsuron, Charles Siton, Ketua-Ketua Jabatan dan agensi, pemimpin-pemimpin masyarakat, Pengerusi JKKK, Ketua-Ketua Cawangan Parti PGRS Kg Sunsuron, Ketua-Ketua Pemuda Cawangan, Pengerusi-Pengerusi KRT, Ahli Jawatankuasa Bertindak Kampung Sunsuron dan penduduk kampung yang lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN