ADVERTISEMENTspot_img

Pensyarah UMS terima pengiktirafan antarabangsa atas sumbangan dalam pencegahan penyalahgunaan dadah

Profesor Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud

KOTA KINABALU: Seorang pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima pengiktirafan antarabangsa sempena Hari Anti-Dadah Sedunia 2026 atas sumbangan cemerlang beliau dalam memperkasa usaha pencegahan penyalahgunaan dadah menerusi pendekatan berasaskan komuniti dan bukti saintifik.

Profesor Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS diumumkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Hari Anti-Dadah Sedunia 2026 yang disampaikan oleh Ecolink Institute of Well-Being dan Ecolink Alumni Association.

Anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam menjayakan kempen sempena International Day Against Drug Abuse and Illicit Trafficking (IDADAIT) 2026.

Pemilihan penerima dibuat menerusi proses pencalonan dan pengundian dalam kalangan alumni, dengan UMS muncul sebagai penerima undian tertinggi daripada tiga penerima anugerah yang dipilih.

Pengiktirafan itu turut mengangkat nama UMS dan Sabah di peringkat antarabangsa menerusi jaringan kerjasama global dalam bidang pencegahan penyalahgunaan dadah, rawatan, pemulihan dan kesejahteraan komuniti.

Dr. Mohd Nazri, yang juga Pakar Perunding Perubatan Keluarga serta profesional dalam bidang ketagihan, aktif menerajui pelbagai program pencegahan penyalahgunaan dadah berasaskan komuniti, khususnya melibatkan masyarakat luar bandar di Sabah.

Beliau berkata anugerah berkenaan bukanlah kejayaan individu semata-mata, sebaliknya hasil kerjasama pelbagai agensi dan organisasi yang komited memperkukuh usaha pencegahan dadah di negeri ini.

Antara organisasi yang terlibat ialah PEMADAM Sabah, Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD), Skuad Anti-Dadah Negeri Sabah, Persatuan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Persatuan Perubatan Desa Sabah (PERDESA) serta International Society of Substance Use Professionals (ISSUP) Malaysia.

“Pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh pendekatan pencegahan berasaskan bukti, intervensi awal serta penglibatan komuniti dalam menangani cabaran penyalahgunaan dadah yang semakin kompleks dan dinamik,” katanya dalam satu kenyataan.

Ecolink Institute of Well-Being merupakan institusi latihan bertaraf antarabangsa yang melahirkan ramai profesional dalam bidang ketagihan dan diiktiraf oleh International Society of Substance Use Professionals (ISSUP) Global serta sebagai Approved Training Provider bagi Program Colombo Plan Drug Advisory.

Menurut Ecolink, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen alumni dalam menyokong usaha global mempromosikan pencegahan penyalahgunaan dadah, pemulihan dan pembinaan komuniti yang lebih sihat.

Kejayaan tersebut sekali gus memperkukuh reputasi UMS dan Sabah di pentas antarabangsa serta membuktikan inisiatif yang digerakkan di peringkat komuniti mampu mendapat pengiktirafan global.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN