ADVERTISEMENTspot_img

Ketua Kampung, JKKK perlu laksana amanah dengan integriti, jadi penghubung kerajaan-rakyat: Masidi

Johari (tiga dari kanan) mewakili Masidi menerima cenderahati oleh Suhaimi

RANAU: Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menyeru Ketua Kampung dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menerima watikah pelantikan agar melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, integriti dan keikhlasan demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata watikah pelantikan itu bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya melambangkan kepercayaan kerajaan kepada pemimpin masyarakat untuk memimpin, menyumbang dan menjadi pemacu pembangunan di peringkat akar umbi.

Beliau berkata JKKK memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat dengan memastikan setiap dasar, program serta bantuan kerajaan dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat.

“JKKK berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat. Amanah yang diberikan ini perlu digalas dengan penuh dedikasi demi memastikan setiap inisiatif kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin, ketika merasmikan Majlis Penyerahan Watikah JKKK Kawasan N.37 Karanaan di Dewan Kampung Mininsalu, di sini, semalam.

Masidi berkata kelulusan Enakmen Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh sistem pentadbiran di peringkat akar umbi sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau turut mengingatkan semua Ketua Kampung dan Ahli JKKK supaya sentiasa turun padang, mendengar suara masyarakat serta memahami keperluan penduduk agar setiap isu dapat ditangani secara berkesan.

“Kerjasama erat antara pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan komuniti amat penting bagi memastikan usaha pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 46 Pengerusi JKKK dan dua Ketua Kampung bagi kawasan DUN N.37 Karanaan menerima watikah pelantikan.

Dua Ketua Kampung yang dilantik ialah Mohd Linggas Rasmin dari Kampung Purakogis dan Radzie Aziri Sanin dari Kampung Piasau.

Turut hadir Pegawai Daerah Ranau Tinus Manggam, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karanaan Suhaimi Manjun, Ketua Daerah Ranau Muhasip Roman serta pemimpin masyarakat setempat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN