keadaan kenderaan terlibat kemalangan
RANAU: Dua individu terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Revo yang dinaiki mereka terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung di Jalan Telupid, Kampung Nalapak, dekat sini, pada Jumaat.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 1.39 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau digerakkan ke lokasi kejadian.
Operasi menyelamat diketuai oleh PBK I Mastin Suli bersama tujuh anggota bomba yang menaiki sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS). Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 2.12 petang, kira-kira 20 kilometer dari balai.
Komander Operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah Toyota Revo yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam gaung di tepi jalan.
Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dilaporkan berjaya keluar sendiri daripada kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan menyeluruh di lokasi bagi memastikan tiada sebarang risiko atau bahaya lain yang boleh mengancam keselamatan mangsa, pengguna jalan raya mahupun anggota penyelamat.
Setelah keadaan disahkan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.33 petang.
Turut berada di lokasi ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu mengawal keadaan dan menjalankan tindakan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, PPgB Rantey Fred, berkata tindakan pantas pasukan bomba memastikan operasi berjalan lancar dan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan.
Punca kemalangan masih dalam siasatan.



