KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 2.00 petang tadi.
Ketibaan beliau disambut oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Kadzim M.Yahya, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan,Ahli Dewan Undangan Negeri Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Joniston Bangkuai serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Pada Isnin lalu, Tun Musa telah berlepas ke Brunei Darussalam bagi menghadiri Majlis Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam.
Selepas itu, beliau turut menghadiri Mesyuarat Raja-Raja ke-269 yang dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Negara, pada Rabu lepas.
Mesyuarat sehari itu turut dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Dalam rangka lawatan tersebut Tun Musa juga turut melawat dan menerima taklimat di Menara Merdeka 118 milik Perbadanan Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta Menara Affin Bank yang terletak di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur. /PENERANGAN



